Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki ugut pisahkan kepala dari badan peguam direman 4 hari
Diterbitkan:  Aug 17, 2019 3:24 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Polis menahan reman selama empat hari terhadap seorang lelaki yang membuat ugutan bunuh terhadap peguam, Syahredzan Johan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Arifai Tarawe memberitahu media melalui WhatsApp hari ini bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Di bawah Seksyen 506, individu yang disabitkan bersalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.

Menulis di Twitter, Syahredzan mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas mereka.

Syahredzan menerima ugutan itu pada malam Rabu lalu selepas menggesa taraf Penduduk Tetap (PR) bagi pendakwah kontroversi Zakir Naik dibatalkan.

Mesej tersebut berbunyi: "Kau usir Dr Zakir Naik aku akan cari kau sampai dapat dan aku akan pisahkan kepala babi kau tu dari badan kau. Ini sumpah aku demi agama Islam dan bangsa Melayu. Kalau berani cubalah".

Syahredzan, yang juga merupakan pembantu kepada pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, membuat laporan polis mengenai ugutan itu pada Khamis lalu.

Peguam itu sebelum ini mengkritik Zakir berhubung kenyataannya terhadap masyarakat beragama Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Zakir dikritik kerana mengatakan masyarakat Hindu di Malaysia menyokong perdana menteri India, Narendra Modi lebih daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga mengeluarkan kenyataan pedas terhadap masyarakat Cina di Malaysia dengan antaranya menggelarkan mereka sebagai "tetamu" sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.

Bagaimanapun Zakir berkata ucapan tersebut telah dilapor di luar konteks.

Polis sedang menyiasat kenyataan Zakir di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghina dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan, dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

Lihat Komen
ADS