Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tinjauan: Saingan pekerja asing punca kadar gaji rendah

Dalam tinjauan rambang yang dijalankan Malaysiakini, rata-rata responden bersetuju dengan pandangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mengatakan kadar gaji di Malaysia rendah.

Antara faktor yang dikaitkan responden termasuklah saingan pekerja asing, kos hidup yang tinggi dan dasar gaji yang tidak sepadan dengan jawatan.

Menurut Nursyazana Saiful Bahry, 22, saingan sengit dalam sektor pekerjaan kini menyebabkan graduan perlu bersaing dengan pekerja asing yang sanggup menerima beban kerja tinggi meskipun dengan gaji yang rendah.

“Saingan sengit ini turut melibatkan lepasan graduan, (akibatnya) mereka terbeban dengan kerja yang dibayar gaji rendah,” kata pembantu pengurus francais minuman itu.

Nursyazana Saiful Bahry.

Sementara itu, Syakir Saaban, 20 yang bekerja sebagai jurujual kedai pakaian berpendapat gaji pekerja perlu mengambil kira kelayakan akademik.

“Dengan menaikkan kadar bayaran gaji ia mungkin dapat menampung dari segi kos sara hidup kita,” katanya.

Turut menyentuh soal kos sara hidup di Malaysia, FakrulRazi Ismail, 42 yang merupakan pensyarah di sebuah universiti berpendapat kadar gaji pekerja di Malaysia ketika ini tidak sepadan dengan kos sara hidup yang tinggi terutamanya di ibu kota.

“Bagi saya kadar pembayaran gaji mereka tak seimbang dengan kos sara hidup di Malaysia lagi-lagi dekat ibu kota ni sebab tu bangkitnya isu ini,” katanya.

Nita Yusnee Mohd Idris

Nita Yusnee Mohd Idris, 43, yang bekerja dalam pengurusan pelajar pula berpandangan bahawa kebanjiran pekerja asing memburukkan lagi keadaan.

“Apa yang saya nampak kebanyakan pekerja asing yang mengisi peluang pekerjaan, berbanding warga kita sendiri.

"Perkara ini menjadi punca majikan membayar gaji rendah,” katanya.

Bagi Kunawathe Kesavan, 31, majikan perlulah mengambil kira kenaikan harga barang dalam menetapkan kadar gaji yang diberikan kepada pekerja.

“Ini hanya pendapat saya sahaja kalau harga barang naik jadinya gaji pun kenalah naik juga," katanya.

Kunawathe Kesavan

MTUC sebelum ini turut menggesa kerajaan  membuat kajian menyeluruh sebelum membenarkan pelarian yang berada di negara ini bekerja.

Ia susulan kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran pada 6 Ogos lalu yang berkata kerajaan tidak boleh mengabaikan manifesto PH yang sebelum ini berjanji untuk membenarkan pelarian di negara ini bekerja.

Berucap pada sesi meja bulat dengan dewan-dewan perniagaan antarabangsa mengenai tenaga kerja di Putrajayapada 1 Ogos lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan pentingnya pembaharuan pasaran kerja.

Dr Mahathir berkata ia penting untuk mengatasi masalah ketidaksepadanan dalam sektor pekerjaan yang menyumbang kepada graduan menganggur, pengangguran dan pertumbuhan gaji yang perlahan serta terlalu bergantung kepada buruh asing.

Lihat Komen
ADS