Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedah ikut jejak Perlis larang ceramah Zakir Naik
Diterbitkan:  Aug 18, 2019 10:15 AM
Dikemaskini: 2:15 AM

Kedah menjadi negeri kedua mengikut jejak langkah Perlis yang melarang penceramah kontroversi Dr Zakir Naik berceramah di negeri itu, susulan kenyataannya terhadap kaum di negara ini baru-baru ini.

Menurut exco agama Kedah Ismail Salleh, keputusan itu diambil bagi bertujuan memastikan keharmonian kaum di negara ini terpelihara.

“Buat masa sekarang, kita harus utamakan keharmonian kaum. Jangan simbah minyak pada api, bimbang api menyala lebih besar.

“Kita tak mahu pertaruhkan perpaduan sedia ada,” katanya lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, Ismail berkata larangan ceramah itu hanya terhad kepada penglibatan Zakir dalam program ceramah, tetapi pendakwah tersebut masih dibenarkan mengunjungi negeri jelapang padi tersebut.

Mengulas lanjut mengenai larangan tersebut, Ismail mengimbas semula kehadiran Zakir di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada April lalu, di mana pendakwah dari India itu dikenakan syarat yang ketat oleh penganjur mengenai intipati ceramah yang akan diutarakan.

PAS Kedah: Zakir amanah Allah dan aset negara 

Tidak bersetuju dengan pendirian tersebut, PAS Kedah hari ini membidas larangan itu dengan menyifatkan Zakir sebagai amanah Allah untuk umat Islam dan aset berharga di negara ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Yahaya berkata tidak wajar menjadikan Zakir sebagai kambing hitam dengan menuding jari bahawa beliau punca ketegangan kaum, sambil mendakwa punca tersebut sebenarnya dari DAP.

“Justeru itu, PAS Kedah mencabar exco agama, Dato' Ismail Salleh agar tunjukkan apakah kerosakan yang dibawa oleh Dr Zakir Naik sehingga dihalang kononnya menjaga keharmonian kaum.

“Beliau juga diingatkan agar jangan mengkambing hitamkan tokoh terkenal itu dengan pelbagai provokasi murahan, sedangkan realiti sebenar yang menimbulkan ketegangan kaum adalah hasil bawaan DAP bukannya Dr Zakir.

“Malah berkemungkinan besar halangan itu kerana patuh dan akur dengan kehendak parti terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihak PAS negeri itu juga menyokong penuh tindakan Dewan Pemuda PAS negeri yang membuat laporan polis terhadap menteri dan media yang cuba mencetuskan ketegangan agama serta kaum di negara ini. 

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan penganjur mengecualikan Dr Zakir Naik daripada acara di negeri itu, dengan mengambil kira "maslahat" Dr Zakir dan keluarganya.

Zakir, yang mendapat status penduduk tetap ketika di bawah kerajaan BN pada 2012, menimbulkan kemarahan masyarakat apabila menyifatkan rakyat Malaysia dari kaum Cina sebagai "tetamu lama" di Malaysia, selain mempertikai kesetiaan masyarakat India di Malaysia terhadap perdana menteri.

Lihat Komen
ADS