Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas MP PAS hadir program k'jaan pusat kerana 'serasi'

Bekas anggota parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki Atiqullah menjelaskan beliau menghadiri program anjuran kerajaan pusat kerana 'serasi' dengannya.

Bagaimanapun, Ahmad Baihaki berkata beliau masih merupakan ahli PAS.

"Secara rasminya saya masih ahli PAS. Cuma saya mengambil sikap untuk hadir ke program pihak kerajaan persekutuan yang dikira serasi dengan saya apabila dijemput," katanya kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemunculannya di pentas-pentas program anjuran agensi kerajaan persekutuan di Kelantan sejak kebelakangan ini.

Ahmad Baihaki mutakhir ini dilihat ini sering muncul dalam program berbentuk forum atau tazkirah sebagai panelis atau moderator khususnya dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Ketika ditanya sama ada pendirian itu diambil sebagai menyahut seruan 'politik matang dan sejahtera' yang digagaskan oleh PAS, beliau mengakui itulah sikap yang sewajarnya.

"Itu sepatutnya, politik matang yang dibawa oleh PAS maknanya kita boleh saling berhubung walaupun berbeza pandangan.

"Tak semestinya orang tak sama (parti) dengan kita akan jadi musuh.

"Kalau kita boleh duduk sekali berbincang walau tak sama (ideologi politik) tiada masalah. Kita raikan perbezaan pandangan," katanya.

'Tak pegang jawatan sepadan'

Berlainan pula dengan program anjuran PAS, Ahmad Baihaki berkata beliau tidak memunculkan diri kerana tidak memegang 'sebarang jawatan yang sepadan'.

"Tetapi kalau dipanggil untuk apa-apa program saya tiada masalah.

"Kalau untuk pengisian program daripada PAS ada yang kecil-kecil. Macam kuliah, tazkirah itu ada. Cuma program besar-besar saya tak terlibat kerana tak pegang jawatan yang sepadan.

"Jadi saya ambil sikap mana-mana pihak jemput, kalau rasa serasi saya akan hadir.

"Kalau kerajaan PH jemput saya hadir, kalau kerajaan Kelantan panggil saya hadir. Tak ada masalah. Dalam politik daripada dulu lagi saya tak suka bergaduh, jadi boleh berkawan belaka," jelasnya yang menjadi anggota Parlimen PAS selama sepenggal.

Sebagai rekod, Ahmad Baihaki tidak bertanding pada PRU14 lalu dan kerusinya diambil alih oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu Ahmad Baihaki menjelaskan, setakat ini beliau tidak terlibat dengan sebarang program parti anjuran PH.

"Saya terlibat dengan pentas kerajaan persekutuan, seperti (program) Yadim hari ni. Dengan program parti (PH) saya tak terlibat," katanya.

Lihat Komen
ADS