Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari ke-55: Pembelaan perlu sehari setengah lagi untuk soal balas

LANGSUNG l Perbicaraan kes jenayah melibatkan Najib Razak atas dakwaan salah guna dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-55 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pasukan pendakwaan dijangka menyelesaikan sesi pemeriksaan terhadap pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

Ikuti laporan langsung Malaysiakini:

Pembelaan perlu sehari setengah lagi untuk soal balas

1pm - Peguam bela Harvinderjit Singh memberitahu mahkamah bahawa dia hanya selesai menyoal balas dalam satu aspek terhadap pengawai SPRM Rosli Hussain dan akan menyambungnya dalam pendengaran di hari ke-56.

Harvinderjit berkata dia memerlukan satu setengah hari lagi untuk menamatkan soal balas sebelum ketua pasukan pendakwaan Muhammad Shafee Abdullah mengambil alih.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazal menangguhkan prosiding ke Khamis pada jam 9.30 pagi.

Jho Low nafi terbabit dalam sebahagian perbualan Blackberry Joanna

12.35pm - Ahli perniagaan Low Taek Jho menafikan dirinya terbabit dalam sebahagian daripada beberapa perbualan Blackberry Messenger yang diekstraksi dari telefon bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu.

Menurut pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain, Low - yang lebih dikenali sebagai Jho Low - membuat penafian itu ketika dia disoal siasat pada tahun 2015.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa penyiasat SPRM merujuk transkrip perbualan Low itu ketika mereka merakamkan kenyataannya di Abu Dhabi pada 27 November 2015.

Untuk rekod, SPRM memperoleh transkrip perbualan itu dari Bank Negara. Bank pusat itu mengekstrak mesej dari telefon Yu selepas ia dirampas pada 6 Julai 2015.

Joanna Yu beri enam kenyataan kepada SPRM: Rosli

12.16pm - Pegawai penyiasatan SPRM Rosli Hussain merakamkan enam kenyataan daripada bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu antara Ogos 2015 dan 12 Jun 2018.

Rosli memberitahu mahkamah demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh.

"Kenyataan (daripada Yu) telah direkodkan sebanyak enam kali. Kali pertama pada bulan Ogos 2015 dan kemudian antara Ogos dan November tahun itu sebanyak lima kali (pada 2015).

"Kenyataan terakhir dirakam adalah pada 12 Jun, 2018," katanya.

 

Mahkamah benar peguam senarai saksi yang ditemuramah SPRM

11.55am - Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan pihak pembelaan untuk menyoal pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain berhubung saksi-saksi yang telah dirakamkan kenyataan mereka oleh suruhanjaya itu apabila siasatan bermula pada tahun 2015.

Keputusan itu dibuat ketika pertikaman lidah yang hangat antara peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah dan pembantunya, Harvinderjit Singh, dengan TPP V Sithambaram.

Sithambaram berkata pihak pembelaan tidak boleh meminta Rosli mendedahkan tentang siapa dan tarikh kenyataan mereka diambil sebagai saksi utama - pada masa ini berjumlah 56, tidak termasuk Rosli - telah dipanggil untuk memberi keterangan.

"Semua saksi yang berkaitan dengan kes itu telah dipanggil dan disoal (di mahkamah)," kata Sithambaram.

Harvinderjit berhujah bahawa pembelaan hanya ingin mengetahui tarikh dan saksi mana yang telah disoal oleh Rosli. Lebih-lebih lagi, katanya, pembelaan bukan meminta untuk mengetahui tentang setiap saksi yang pernah ditemuramah oleh Rosli.

Shafee menyokong Harvinderjit dengan berkata bahawa walaupun pihak pendakwaan percaya permintaan itu tidak berkaitan kepada kes semasa, pembelaan menganggap ia relevan.

"Teruskan," kata Nazlan dalam membenarkan permohonan pembelaan itu.

Saksi tidak dapat sahkan dokumen bank tidak dimanipulasi

11am - Saksi berkata bahawa dia tidak dapat mengesahkan bahawa dokumen yang dirampas dari AmIslamic Bank berhubung dengan siasatan SRC International tidak dimanipulasi.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain bersetuju bahawa kemungkinan kebocoran berlaku di AmIslamic Bank.

Harvinderjit: Dari apa yang kita lihat sebelum 6 Julai 2015, sudah ada satu keadaan di mana terdapat kebocoran dari AmIslamic Bank, betul?

Rosli: Itu adalah andaian.

Harvinderjit: Bolehkah kamu mengesahkan bahawa tidak ada manipulasi dalam semua dokumen dalam folder ini (yang dirampas oleh Bank Negara dari AmIslamic Bank pada 6 Julai 2015)?

Rosli: Saya terima seadanya.

Harvinderjit: Kamu tidak boleh mengatakan tidak ada manipulasi pada folder ini sebelum 6 Julai 2015?

Rosli: Ya, saya setuju.

Peguam soal kemungkinan kebocoran kepada Sarawak Report

10.50am - Peguam bela Harvinderjit Singh mengalihkan cara dia mengajukan soalan dengan memberi tumpuan cara laman web Sarawak Report mendapat maklumat mengenai kes SRC International.

Harvinderjit berkata Sarawak Report menerbitkan artikel mengenai SRC International pada 2 Julai 2015, sedangkan SPRM melancarkan siasatannya pada 6 Julai.

Beliau menyoal pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain jika pasukannya menyiasat mengenai kemungkinan kebocoran dokumen bank.

Pegawai itu menjawab tidak dan berkata bahawa pasukannya memberi tumpuan kepada kemungkinan pelanggaran Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Harvinderjit: Dalam siasatan, kamu melawat bank. Ini bermakna sebelum pasukan kamu ke sana untuk mendapatkan dokumen, wujud keadaan di mana dokumen-dokumen ini telah dibocorkan (kepada Sarawak Report).

Rosli: Berdasarkan ini, kita boleh andaikan demikian.

Harvinderjit: Adakah kamu tahu siapa dalam AmIslamic Bank membocorkan dokumen itu?

Rosli: Oh, saya tidak tahu.

Harvinderjit: Jadi, boleh kita katakan bahawa kamu dapati tidak penting untuk menyiasat (kebocoran) ini?

Rosli: Polis yang patutnya menyiasat.

Harvinderjit: Jadi, tidak penting untuk kamu siasat?

Rosli: Ya, saya fokus pada siasatan saya.

Harvinderjit: Kamu tidak akan tahu jika ada dokumen lain dari bank telah dibocorkan (juga)?

Rosli: Ya (saya tidak akan tahu).

Siasatan SRC oleh SPRM selesai pada Jun lalu, kata saksi

10.20am - Mahkamah dimaklumkan bahawa siasatan jenayah SPRM ke atas bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa menyelewengkan dana berkaitan SRC International selesai pada 12 Jun tahun lalu.

Di bawah pemeriksaan balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain memberitahu bahawa dia mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada tarikh itu.

Katanya, kertas yang dikemukakan itu dengan cadangan untuk mendakwa Najib di mahkamah.

Menurut Rosli, kertas siasatan itu pada pertama kalinya dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 31 Dis 2015 - tarikh akhir yang diberikan oleh ketuanya, Bahri Md Zin untuk melengkapkan siasatan.

 

Tiada dokumen tunjukkan bukan tandatangan Najib - saksi

10am - Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain berkata dia tidak menerima sebarang dokumen daripada pihak pembelaan yang menunjukkan bukan tandatangan Najib Razak dalam pelbagai dokumen bank yang diterima dalam siasatan berkaitan SRC International.

Saksi ke-57 itu berkata demikian ketika disoal oleh DPP Suhaimi Ibrahim.

Semalam Rosli memberitahu mahkamah, ketika disoal siasat SPRM antara 2015 hingga tahun lepas, Najib mengesahkan tandatangannya terdapat dalam pelbagai dokumen bank yang dikaitkan dengan akaun Ambank.

Antara dokumen itu ialah dokumen yang memberi kuasa untuk pemindahan jutaan ringgit surat kuasa kepada Ketua Pegawai Eksekutif Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat untuk akaun-akaun Najib.

Suhaimi memberitahu mahkamah dia sudah selesai menyoal saksi.

Pasukan pembelaan pula mula menyoal balas.

9.10am - Najib masuk ke kandang tertuduh. Prosing bersambung dengan saksi ke-57 Rosli Hussain yang juga pegawai penyiasat SPRM disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suhaimi Ibrahim.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS