Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dakwah bukan satu acara terjah dan tinju lawan

ULASAN l Dalam kehangatan polemik Dr Zakir Naik, saya ditanya satu soalan oleh seorang ahli akademik Pengajian Islam dari salah sebuah universiti terkemuka. Adakah semasa Nabi Muhammad SAW berdakwah, baginda tak sebut bahawa agama selain Islam itu sesat seperti yang dijelaskan dalam Quran kerana takut orang kafir musyrik marah?

Saya menjawab begini:

1. Dakwah itu bermula dengan menjalinkan hubungan kemanusian terlebih dahulu. Nabi Muhammad sudah menjalinkan hubungan baik dengan kaum kerabat dan saudara mara di Makkah selama 40 tahun. Ulang sekali lagi: 40 tahun...

Dalam tempoh itu baginda sangat dihormati dan diyakini bahawa baginda sangat menyayangi kaumnya. Baginda suka melakukan ziarah dan menghubungkan silaturrahim dengan sesiapa sahaja.

Baginda melawat orang sakit, membantu orang susah, memberi makan orang lapar, membela orang teraniaya. Dengan harta sumbangan isterinya yang kaya, beliau banyak korbankan untuk membantu orang yang berkeperluan.

Kemuncaknya baginda dinobatkan sebagai al-Amin, seorang yang paling jujur dan luhur.

Sehingga ada orang-orang yang menyimpan harta simpanannya pada baginda, tidak pada keluarga mereka. Itu senario pembinaan asas-asas dakwah sebelum berdepan mengajak kaumnya tinggalkan syirik.

2. Sifat baginda itu disebutkan ayat yang bermaksud "Telah datang kepada kamu seorang rasul dari kalangan kamu sendiri yang sangat berat baginya apa-apa yang menyusahkan kamu, sangat menjaga kebajikan kamu, sangat santun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman" (Surah al-Tawbah:128)

3. Dalam keadaan hubungan mesra kekeluargaan dan kekitaan selama 40 tahun, baru bermula dakwah sesama ahli keluarga terdekat selama tiga tahun. Bukan baginda terus pergi terjah kaumnya dan mengatakan kaumnya sesat dan akan masuk neraka.

Selepas tiga tahun itu baru baginda mula keluar ke tempat-tempat perhimpunan orang ramai, (yang semuanya dikenali dengan baik kerana tinggal sekampung selama 40 tahun) dan menyeru mereka kepada Islam dan tauhid.

4. Orang Quraisy tiada kitab suci, maka tiada keperluan baginda berhujah mengatakan kitab mereka sesat atau mereka melakukan apa yang bercanggah dengan kitab suci mereka.

Baginda cuma mengajak mereka meninggalkan syirik, iaitu menyembah berhala daripada batu dan kayu yang tiada kuasa manfaat atau mudarat, meninggalkan zina, mencuri, menderhaka ibu bapa dan menyeru kepada nilai-nilai akhlak mulia. Itulah gambaran awal dakwah baginda.

5. Memang ada orang kafir musyrikin marah kerana mereka diajak meninggalkan kepercayaan tradisi nenek moyang mereka, tapi faktor hubungan kekeluargaan dan kekitaan selama 40 tahun itu memungkinkan dakwah baginda terus mendapat sokongan.

Apatah lagi ada orang-orang besar dan berpengaruh dalam kalangan kaum Quraisy yang melindungi dan memberi sokongan kepada baginda seperti isterinya Khadijah dan bapa saudara baginda, Abu Talib.

6. Apa yang berlaku sekarang dakwah cuba dilakukan secara terjah dan paksaan tanpa asas hubungan yang erat di antara pendakwah dan orang yang ingin didakwahkan.

Tiba-tiba datang nak ceramah depan orang kafir yang tiada apa-apa jalinan hubungan untuk beritahu kitab mereka salah atau amalan mereka bercanggah dengan kitab mereka. Itu tak menepati sunnah dakwah yang sebenar. Itu sejenis provokasi sebenarnya.

7. Lihatlah juga bila Nabi Muhammad SAW pergi ke tempat yang asing daripada keluarganya, iaitu di Taif. Apa yang terjadi apabila orang yang didakwahkan marah lantas tanpa segan silu menghalau dan memukul baginda? Terjadi begitu kerana di sana tiada asas dakwah iaitu pembinaan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan terlebih dahulu.

8. Adakah Nabi Muhammad SAW tersilap? Tidak. Kalau baginda yakin baginda tidak silap dan orang Taif yang bersalah dan kurang ajar, adakah baginda mencela dan melaknat orang Taif? Pun tidak. Kenapa baginda memaafkan dan tidak mengambil peluang tawaran malaikat untuk memusnahkan orang Taif?

9. Rahmah baginda itu mungkin kerana baginda tahu dan sedar mereka belum dijinakkan maka mereka tidak kenal dan tidak tahu. Lantas baginda berdoa, "Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak tahu."

Dalam menolak tawaran pembalasan malaikat baginda bersabda: "Aku cuma mengharapkan mereka akan mengeluarkan zuriat yang menyembah Allah suatu hari nanti dan tidak mensyirikannya dengan sesuatu". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

10. Kalau penentangan dan kemarahan orang Taif terhadap baginda itu dipertanggungkan ke atas mereka saja dan baginda tak bertanggunjawab langsung, sudah tentu mereka layak didoakan untuk dibunuh oleh para malaikat. Tetapi itu tidak terjadi dengan permintaan baginda sendiri.

Maksudnya Rasulullah SAW yang paling mulia akhlaknya sama-sama mengambil tanggung jawab dalam kegagalan dakwah itu. Bukan terus menghukum orang yang menolak dakwah baginda. Jauh sekali akhlak baginda berbanding akhlak sesetengah pendakwah hari ini yang mendakwa diri dan jemaahnya mengikut dan mendokong sunnah Rasulullah SAW.

11. Jelas sekali, misi seorang nabi bukanlah membunuh manusia yang sesat dan memasukkan mereka ke neraka. Kalau untuk melaknat manusia yang sesat sebelum disantuni, mengkafirkan mereka sebelum didekati, memunafikkan mereka sebelum diajari, tidak perlulah Allah utuskan nabi. Boleh saja Allah sendiri hapuskan semua manusia yang sesat dan kafir. Allahu a'lam.


USTAZ ALI MUDA adalah pegawai tugas-tugas khas di Pejabat Menteri di JPM (Agama).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS