Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Kemenangan PH pada PRU ke-14 lalu mencipta fenomena yang membawa semua orang bercakap - dan melihat - tentang Malaysia yang berbeza dari sebelumnya.

“Malaysia Baru” menjadi satu istilah popular untuk menandakan era pentadbiran lama yang penuh korup dan skandal telah berakhir.

Reformasi sistem dilakukan di peringkat tertinggi pentadbiran kerajaan dan secara beransur-ansur mula mengambil tempat di setiap peringkat.

Malaysia Baru merupakan istilah positif, namun keterbukaan mendefinisikan ungkapan itu tanpa kerangka dan sudut pandang yang betul telah membawa kepada salah faham dan tindakan yang mengelirukan terutama dalam kalangan bukan Melayu.

Saya berpendapat kaum bukan Melayu - terutamanya Cina dan India - secara umum melihat Malaysia dari dua perspektif.

Pertama, Malaysia Baru 1.0 yang bermula pada era prakemerdekaan dan pascakemerderkaan. Pada peringkat ini, orang Cina dan India percaya bahawa mereka turut berperanan memperjuangkan kemerdekaan dan membina kemakmuran negara.

Ia mulanya dicapai melalui pentadbiran Perikatan, iaitu gabungan parti politik perbagai kaum yang dianggotai oleh tiga parti besar berteraskan kaum iaitu Umno, MCA, dan MIC.

Pascakemerdekaan pula menyaksikan penglibatan yang aktif - terutamanya kaum Cina - memakmurkan ekonomi negara.

Tak lagi didominasi budaya Melayu

Bagaimanapun, pemerintahan negara yang dipegang terlalu lama oleh BN - yang diketuai Umno - dilihat menekan kaum bukan Melayu terutama melalui dasar pendidikan dan ekonomi.

Peringkat kedua pula ialah selepas PRU ke-14 apabila orang Cina dan India berasakan mereka adalah antara penyebab utama berlakunya perubahan pemerintahan dan terbentuknya Malaysia Baru 2.0.

Pada orang bukan Melayu, mereka berasakan peranan mereka cukup besar dan signifikan. Tanpa mereka, negara masih ditadbir oleh rejim kleptokrasi pimpinan Najib Razak dan Malaysia bentuk 'lama' akan kekal.

Jesteru, terma Malaysia Baru muncul selepas PRU ke-14 dan ia dipopularkan dalam semua media. Orang bukan Melayu melihat secara optimistik bahawa Malaysia Baru tidak lagi akan didominasi dengan nilai-nilai lama yang banyak menggunakan latar belakang tradisi dan budaya Melayu.

Dalam kata lain, kaum bukan Melayu juga cuba mengetepikan nilai sejarah bagi mendefinisikan Malaysia Baharu.

Sebagai contoh, dalam isu kuota Melayu dan bumiputera dalam pendidikan matrikulasi, dan isu pembelajaran tulisan Jawi, kaum bukan Melayu begitu proaktif bersuara.

Isu tulisan Jawi yang masih lagi hangat memaparkan kaum bukan Melayu menentang cadangan kerajaan memperkenalkan tulisan yang menjadi warisan bangsa sejak berabad lamanya di Tanah Melayu.

Dong Zong secara keras menolak pengenalan tulisan Jawi dan terus-menerus menekan Kementerian Pendidikan untuk mengubah polisi berkenaan.

Anggota Parlimen Klang itu turut menjaja istilah Malaysia Baru semasa mengkritik Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek.

Bagi wakil rakyat DAP itu, setiap dasar di Kementerian Pendidikan harus bersifat inklusif.

Hal itu menunjukkan seolah-olah orang bukan Melayu begitu tegar menidakkan nilai sejarah dalam memberi definisi Malaysia Baru versi mereka.

Mungkin bagi orang bukan Melayu, nilai sejarah Tanah Melayu tidak penting dan mereka mempunyai memori kolektif yang berbeza dengan orang Melayu.

Orang Melayu melihat Malaysia Baru tidak pernah terputus dengan sejarah Tanah Melayu dan kewujudan Malaysia hari ini adalah kesinambungan sebuah kerajaan yang bermula sejak ratusan tahun lalu.

Ia melalui pelbagai episod panjang yang disulami suka dan duka, bangga dan kecewa.

Bebaskan negara dari kebejatan

Kaum Melayu melihat sejarah pembinaan negara bukan hanya pada era prakemerdekaan yang menyaksikan termeterainya permuafakatan parti-parti berasaskan kaum dan kontrak sosial di antara mereka.

Bagi orang Melayu, memori kolektif mereka antaranya adalah seperti himpunan perjanjian Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang memaknakan hubungan ketaatan rakyat dan amanah raja, penerimaan Islam yang menukar landskap politik dan sosial Melayu, perang melawan Portugis dan seterusnya siri-siri perjuangan membebaskan tanah air hinggalah negara ini merdeka.

Memori kolektif dan titik masa dalam minda orang Melayu tidak pernah terputus, malah terus bersambungan hinggalah ke era selepas PRU ke-14 yang membentuk Malaysia Baru.

Berbeza dengan kaum bukan Melayu yang memori kolektif mereka berlegar di sekitar peristiwa singkat prakemerdekaan.

Mereka bangga kerana memakmurkan ekonomi Malaysia tetapi pada masa sama mendakwa banyak hak mereka - sebagai rakyat Malaysia - dinafikan.

Sebolehnya, orang bukan Melayu ingin mengubah terus identiti Malaysia kepada sebuah negara yang berbeza daripada yang lampau.

Sedangkan, konsep Malaysia Baru seharusnya dilihat sebagai usaha membebaskan negara daripada pentadbiran yang penuh kebejatan dan korupsi, bukannya membentuk sebuah negara baru yang tiada sejarah masa lampau.

Harus diingat, Malaysia Baru tidak boleh sekali-kali lari daripada empat perkara penting seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak, raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Empat perkara ini adalah identiti dan teras utama negara yang tidak boleh disentuh oleh mana mana pihak walaupun Malaysia Baru ditafsir dengan begitu liberal.

Kaum bukan Melayu sepatutnya tidak dilihat terlalu gopoh melakar Malaysia Baru.

Jangan kerana kegilaan membentuk negara pasca-PRU ke-14 sehinggakan mengabaikan aspek sensitif yang sangat penting kepada orang Melayu.

Sikap terlalu lantang mencabar tradisi dan sejarah hanya bakal menjadi mimpi ngeri kepada mereka sekiranya berlaku kebangkitan secara total dalam kalangan pengundi Melayu.

Hal itu ditambah dengan kerjasama PAS dan Umno yang memungkinkan PH ditolak oleh majoriti orang Melayu.

Bagi pemimpin Melayu pula, sewajarmya isu Malaysia Baru ditangani dengan cermat agar tidak dilihat rasis dan xenophobik terhadap kaum lain.

Pada masa sama mereka tidak boleh bersifat apologetik untuk menurut segala tindak balas orang bukan Melayu terhadap nilai-nilai tradisi Tanah Melayu.


Prof Madya Mohd Afandi Salleh ialah timbalan naib canselor (Hepa) Universiti Sultan Zainal Abidin.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS