Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan gagal ketepi saman k’jaan berhubung tanah adat Orang Asli
Diterbitkan:  Aug 20, 2019 3:48 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Kerajaan Kelantan gagal mengetepikan saman kerajaan Persekutuan yang difailkan pada Januari lepas berhubung tanah adat masyarakat Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam penghakimannya berkata kerajaan negeri tidak mempunyai hak untuk menghalang saman pemula tersebut kerana ia boleh menjejaskan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

"Mahkamah juga berpendapat kes ini boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu dan tidak perlu dibawa ke Mahkamah Persekutuan dan masyarakat Orang Asli juga berhak hidup di kawasan tersebut kerana telah mendiami tempat itu sejak turun-temurun," katanya dalam penghakimannya hari ini.

Bulan lepas, kerajaan negeri memohon mengetepikan saman tersebut kerana berpendapat kes tersebut hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

Wan Ahmad Farid turut menetapkan 25 September depan bagi perbicaraan injunksi yang dipohon oleh kerajaan Persekutuan untuk menghentikan sebarang aktiviti berkaitan pembalakan dan pertanian di kawasan itu.

Kerajaan Persekutuan diwakili sepasukan tujuh peguam diketuai Datuk Gurdial Singh Nijar manakala kerajaan negeri diwakili Tun Salleh Abas.

Peguam Negara, Tommy Thomas pada Januari lepas dilaporkan sebagai berkata buat pertama kali sejak kemerdekaan, kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah bagi pihak Orang Asli dalam memberikan pengiktirafan tanggungjawab perlembagaan dan perundangan untuk melindungi, serta menggalakkan kesejahteraan dan kemajuan mereka.

Beliau dipetik sebagai berkata kerajaan Kelantan dan agensinya sebelum ini telah mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta, dan dengan menggunakan jentera berat mereka telah menebang dan membawa keluar kayu balak dari kawasan hutan yang luas, yang diterangi untuk dijadikan ladang durian dan pokok getah.

Namun, katanya, kerajaan Kelantan tidak berunding dengan masyarakat Orang Asli suku Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan atau menawarkan apa-apa pampasan atas penafian hak tanah adat dan sumber keperluan Orang Asli.

Thomas turut dilaporkan sebagai berkata tindakan itu telah mengakibatkan masyarakat Orang Asli suku Temiar dinafikan tanah adat dan sumber menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan teruk terhadap sistem ekologi dan landskap Pos Simpor.

Katanya walaupun kerajaan Kelantan mempunyai bidang kuasa ke atas perkara berkaitan tanah, perhutanan dan galian, namun mereka turut terikat dengan kewajipan utama dan tidak boleh diketepikan untuk melindungi dan memelihara kesejahteraan masyarakat Orang Asli suku Temiar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS