Malaysiakini
BERITA

Utusan terus bernafas, harga akhbar naik 50sen

Shakira Buang

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Ogs 2019, 1:19 tengahari

Tidak seperti jangka sebelum ini, syarikat Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan Melayu) tidak akan menutup operasinya atau menamatkan penerbitan akhhar harian mereka.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu, Abd Aziz Sheikh Fadzir, berkata syarikat itu akan meneruskan perniagaannya namun menaikkan harga jualan bagi akhabar harian mereka, Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Kata Aziz, kedua-dua akhbar tersebut - yang kini bersaiz tabloid - akan dinaikkan 50 sen mulai Jumaat ini.

Susulan pengenalan harga baru itu, akhbar Utusan Malaysia akan dijual pada harga RM2, manakala Kosmo! menjadi RM1.50.

Bekas anggota parlimen Kulim Bandar Baru itu juga berkata, untuk menyelamatkan syarikat tersebut, Utusan Melayu perlu kembali kepada model perniagaan media.

Abd Aziz juga merayu kepada pelbagai pihak agar membantu syarikat berkenaan - yang sebelum ini kalah dalam beberapa saman fitnah oleh pemimpin PH.

"Saya minta rakyat yang bersimpati kepada Utusan (Melayu), bantulah kami, beli surat khabar, (beli) iklan dengan kami," katanya pada sidang media di pejabat syarikat itu di Kuala Lumpur hari ini.

Abd Aziz Sheikh Fadzir

Sebelum itu semalam pengurusan tertinggi Utusan Melayu didakwa mengadakan mesyuarat dengan Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Abd Aziz, Utusan Melayu memerlukan masa lebih lama untuk mengimbangi kos operasinya.

Rugi RM3 juta setiap bulan

Mengulas lanjut, Aziz berkata syarikat itu terpaksa menaikkan harga kedua-dua akhbar berkenaan bagi mengurangkan kos operasi yang ditanggung ketika ini.

“Daripada peningkatan ini dan berdasarkan anggaran akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! masing-masing terjual sebanyak 50,000 dan 100,000 naskah sebulan, kita jangka ia akan menyumbang kira-kira RM2.3 juta sebulan kepada Utusan.

“Berdasarkan laporan terakhir kepada Bursa, kita mengalami kerugian RM3 juta setiap bulan, namun hasil jualan akhbar ini dijangka mengurangkan defisit kita kepada RM750,000 sebulan.

“Kita harap sentimen untuk membantu Utusan dan semangat untuk memastikan Utusan terus beroperasi selepas 80 tahun dalam kalangan masyarakat ketika ini, akan diterjemah dengan pembelian kedua-dua akhbar ini walaupun harganya naik,” katanya.

Aziz berkata, pihaknya yakin kewangan Utusan akan kembali stabil antara 2020 hingga 2021 jika mereka berjaya melupuskan beberapa aset, meningkatkan pendapatan pengiklanan dan pertambahan pembaca kedua-dua akhbar Bahasa Melayu itu.

Pelabur berminat beli aset

Berhubung tunggakan gaji, Abd Aziz berkata, pihaknya bersetuju membayar RM2,000 kepada 800 kakitangan Utusan hari ini sebagai penyelesaian jangka pendek, namun tiada jaminan khusus bagi jangka panjang.

“Kita terpaksa naikkan harga akhbar dan jika jumlah pembaca kekal atau bertambah, di samping penjualan aset diselesaikan, kita yakin akan mampu membayar gaji pekerja mengikut masa,” katanya menegaskan hanya satu aset berdepan masalah untuk dijual kerana tiada Sijil Perakuan Kelayakan (CF).

Ditanya sekiranya ada pelabur yang mahu membeli aset atau melabur dalam Utusan, Aziz berkata, beberapa pelabur menyatakan minat namun mereka sedikit skeptikal selepas melihat status kewangan Utusan.

“Ada beberapa pelabur yang menunjukkan minat, tapi apabila tengok unjuran dan kehilangan aliran tunai kita setiap bulan, mereka risau juga,” katanya yang membuka pintu untuk bergabung dengan mana-mana entiti media.

Abd Aziz berkata, jumlah tunggakan gaji dan bayaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) adalah hampir RM10 juta, iaitu lebih RM3 juta bagi gaji dan RM6 juta bagi VSS.

Bukan lidah Umno

Disoal mengenai hala tuju editorial Utusan yang dilihat berat sebelah sebelum ini, Aziz menegaskan Umno tidak pernah terbabit secara langsung dalam keputusan editorial sejak beliau dilantik sebagai Pengerusi Utusan.

“Wadah kita wadah rakyat. Kita nak bantu ketengahkan pandangan rakyat, namun bila buat begitu, kita dilihat menentang kerajaan. Bukan itu agenda kita.

“Kita bukan lidah Umno. Umno tak pernah ganggu editorial. Utusan bebas untuk menulis apa sahaja, tapi mesti bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, urusan jual beli saham syarikat Utusan akan digantung bermula 30 Ogos dan dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia pada 30 Ogos.

Semalam, Ahli Lembaga Pengarah Utusan memaklumkan kepada Bursa Malaysia mereka tidak pasti kumpulan itu dapat kembali pulih pada akhir tahun kewangan 2019.

Saham Utusan di Bursa Malaysia dibuka pada 0.09 sen pagi ini dan ditutup pada 0.07 sen pukul 5 petang tadi.

Ketika mengulas perkara itu, Abd Aziz berkata penyahsenaraian syarikat berkenaan tidak akan menjejaskan mereka.

"Tiada kesan kepada perniagaan, kita ada masalah sama, saya tak nampak keluar daripada Bursa akan ada masalah kepada kita.

"Berita semalam kata Utusan nak tutup itu beri masalah kepada kita, itu kita nak pulihkan," katanya lagi.

Terdahulu, Aziz mengadakan pertemuan tertutup bersama kakitangan syarikat kira-kira sejam menjelaskan keadaan semasa syarikat berkenaan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.