Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tarik perintah pembekuan ke atas dua akaun Arul Kanda

SPRM telah membatalkan perintah pembekuan terhadap dua akaun bank K Arul Kanda semalam.

Langkah itu dibuat sehari selepas bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB itu memfailkan tindakan undang-undang untuk membatalkan pembekuan itu.

Hal itu didedahkan peguam Arul, N Sivananthan semasa prosiding terbuka di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Prosiding itu untuk mendengar permohonan Arul bagi mendesak SPRM menyahbeku dua akaun Maybank miliknya.

Akaun-akaun berkenaan adalah antara lapan akaun milik Arul yang dibekukan sebagai sebahagian langkah siasatan berhubung pengubahan wang haram pada 12 Julai tahun lepas.

Bagaimanapun, perintah pembekuab terhadap enam lagi akaun telah ditarik balik - menjadikan hanya dua akaun Maybank itu yang masih dibekukan.

“Permohonan ini, difailkan pada Isnin, berhubung dua akaun yang dibekukan.

“Mujurlah semalam, satu arahan oleh responden (SPRM) telah dikeluarkan untuk membebaskan akaun-akaun tersebut di bawah Seksyen 55 (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 atau AMLATFA), kata Sivananthan.

Apabila Zaini menimbulkan bahawa permohonan itu turut meminta pampasan ganti rugi berhubung pembekuan dua akaun tersebut, Sivananthan memaklumkan dia mendapat arahan daripada pelanngannya agar tidak lagi meneruskan permohonan itu.

“Ya, tapi saya dapat arahan daripada klien saya tak perlu teruskan lagi. Dia berhasrat menarik balik tuntutan ganti rugi berhubung akaun-akaun itu,” katanya.

Timbalan Pedakwa Raya (DPP) Mohd Isa Mohamed mewakili SPRM, sementara Arul Kanda tidak hadir kerana cuti sakit.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding, Sivananthan berkata permohonan tersebut dibuat pada Isnin lalu memandangkan SPRM tidak mengambil tindakan perundangan lanjut selepas akaun itu dibekukan pada 12 Julai tahun lepas.

“Dua akaun klien saya dibekukan pada 12 Julai 2008, tapi tak ada apa-apa pun yang dilakukan (selepas itu). Tak ada pendakwaan (terhadp Arul Kanda) berhubung akaun itu setakat 12 Julai tahun ini.

“Kami dah buat permohonan bertulis kepada SPRM untuk menyahbeku akaun-akaun itu, tapi memandangkan tiada apa dilakukan (oleh SPRM), kami failkan permohonan itu (kepada mahkamah) pada Isnin.

“Mujurlah semalam SPRM sudah keluarkan arahan kepada Bursa (Malaysia) dan Maybank untuk nyahbeku akaun-akaun itu. Akaun-akaun klien saya, sudah tak ada yang dibekukan sekarang,” kata Sivananthan.

Dua akaun Maybank itu adalah akaun CDS untuk dagangan saham. Atas sebab itu arahan SPRM diberikan kepada Bursa Malaysia dan juga Maybank.

Peguam itu turut menjelaskan bahawa mengikut Seksyen 44 Akta tersebut, pembekuan akaun bagi tujuan penyiasatan hanya boleh dilakukan bagi tempoh 12 bulan sahaja.

Seksyen 56 (3) akta itu turut menyatakan bahawa sekiranya tiada pendakwaan, sabitan atau pelucutan hak dilakukan terhadap aset yang dibekukan dalam tempoh 12 bulan, aset itu mesti dipulangkan semula kepada pemiliknya.

Ketika ditanya tentang sama ada SPRM ada memberikan apa-apa alasan terhadap pembekuan akaun tersebut, Sivananthan berkata tiada sebab yang diberikan kepada pihaknya memandangkan akta itu tidak memerlukan mereka untuk berbuat demikian.

Disoal tentang jumlah akaun Arul yang dibekukan pada 12 Julai, Sivananthan membalas ada lapan akaun kesemuanya.

“Ada lapan. Tapi, enam telah ditarik balik dalam tempoh 12 bulan (tempoh pembekuan mengikut undang-undang) sejak 12 Julai (tahun lalu),” katanya.

Arul Kanda dan bekas perdana menteri Najib Razak dituduh dengan dakwaan memalsukan laporan audit akhir 1MDB. Perbicaraan kes dijadualkan bermula 18 November.

[Baca berita penuh]




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS