Kementerian Kewangan menafikan dakwaan yang mengatakan skim mySalam sebagai skim cepat kaya yang hanya memberi keuntungan kepada syarikat insurans.
Dalam kenyataan media hari ini, kementerian itu berkata, skim perlindungan kesihatan berkenaan merupakan skim takaful yang tidak bermotif keuntungan.
"Ia ditawarkan oleh kerajaan untuk kumpulan B40 yang layak, iaitu seramai 3.8 juta individu.
"Kerajaan ingin sekali lagi menegaskan bahawa tiada unsur keuntungan untuk mana-mana syarikat insurans melalui skim mySalam.
"Segala baki premium yang telah dibayar kepada syarikat takaful yang tidak dituntut dan faedah simpanan yang terkumpul, akan dibayar balik sepenuhnya kepada Tabung Amanah mySalam," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan Kementerian Kewangan sebagai menjawab dakwaan dalam artikel komentar yang diterbitkan oleh Sinar Harian pada 19 Ogos yang mempersoalkan skim mySalam sebagai "Skim Cepat Kaya".
Artikel itu ditulis Ab Jalil Backer yang merupakan Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar).
Kementerian Kewangan mendakwa penulis artikel itu telah membuat dakwaan palsu dan secara langsung menunjukkannya tidak tahu fakta sebenar berkaitan skim MySalam.
Oleh itu, kata kenyataan itu lagi, dakwaan sinis artikel yang diterbit oleh Sinar Harian itu adalah palsu.
Tambahnya, Kementerian Kewangan dan Bank Negara telah menjalankan kajian dan penilaian yang menyeluruh untuk memastikan bahawa skim mySalam memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.
"Artikel seperti ini yang berdasarkan fakta palsu dan tajuk yang sensasi adalah bertujuan untuk menidakkan manfaat yang dinikmati rakyat daripada skim ini.
"Kerajaan sentiasa prihatin akan beban kewangan rakyat terutamanya ketika kecemasan kesihatan yang tidak dijangka," jelasnya.
