Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Setiausaha Koperasi DBKL didakwa terima rasuah RM2,000

Seorang Setiausaha Koperasi Kredit Pekerja-Pekerja IMG Kejuruteraan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Berhad (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua tuduhan rasuah RM2,000 bagi melepaskan kesemua wang simpanan koperasi milik seorang pekerja DBKL, dua tahun lepas.

M. Moorthi, 59, didakwa telah secara rasuah meminta untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2,000 daripada Hussainar Saidali, 61, sebagai dorongan bagi melepaskan kesemua wang simpanan koperasi milik mangsa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memperoleh untuk dirinya suatu suapan wang tunai RM2,000 daripada Hussainar bagi tujuan sama mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Kuli Hindu Sri Sakthi Maha Mariamman, Jalan Robson, Taman Persiaran Desa di sini pada 1 tengah hari, 7 Jun 2017.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Abdul Rashid Sulaiman menawarkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah namun tertuduh yang diwakili peguam S.Narasimhan memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa.

Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 23 Sept untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS