Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan akan kaji dakwaan PBB kadar kemiskinan tak tepat

Kerajaan akan mengkaji laporan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) yang menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik dan tidak tepat.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad secara ringkas berkata, kerajaan juga sedia menyemak semula kaedah menilai kadar kemiskinan di negara ini.

"Kita akan kaji laporan, kalau perlu kaedah mengukur kadar kemiskinan akan dinilai semula," katanya pada media di Petaling Jaya, malam ini.

Mahathir sebelum itu menghadiri majlis makan malam Myperintis. Hadir sama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Hari ini media melaporkan PBB mendakwa situasi kemiskinan di Malaysia jauh lebih buruk daripada yang digambarkan oleh kerajaan.

Dalam satu laporan yang didedahkan pada Jumaat, Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Sebaliknya, kata beliau, kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia adalah kira-kira 15 peratus.

"Realitinya, Malaysia dilihat mempunyai kadar kemiskinan hampir dengan negara lain iaitu 15 peratus. Masalah utamanya ialah kewujudan 0.4 peratus yang melibatkan 25 ribu isi rumah di Malaysia dikategorikan miskin. Pada akhirnya, ia dilihat pada proses membuat polisi.

"Pegawai kerajaan ada yang mengatakan tiada kemiskinan jadi tidak perlu program basmi kemiskinan yang terlalu mendalam kerana kononnya kamu hanya perlukan polisi kerajaan. Namun realitinya, kemiskinan tidak mampu memadamkan dapatan daripada polisi sosial dan ekonomi," katanya dalam satu sidang media di ibu negara.

Laporan berkenaan diterbitkan susulan lawatan 11 hari Alston yang melawat pangsapuri kos rendah, pusat orang kurang upaya, komuniti orang asli dan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah, dan Kelantan.

Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali menolak laporan yang dikeluarkan PPB dan berpegang teguh kepada kadar kemiskinan yang direkodkan pada paras 0.4 peratus daripada keseluruhan isi rumah pada tahun 2016 atau sebanyak 24,700 isi rumah.

Katanya, Malaysia mengguna pakai standard berdasarkan Canberra Group Handbook on Household Income Statistic, Edisi Kedua (2011) yang diterbitkan oleh PBB untuk mengukur kadar kemiskinan di negara ini.

Garisan Pendapatan Kemiskinan (PLI) yang digunakan pula ditetapkan pada kadar RM980 bagi peringkat kebangsaan dan dikira berdasarkan keperluan asas isi rumah untuk hidup dalam keadaan sihat dan aktif.

Lihat Komen
ADS