Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Psikiatri perlu jamin Nur Fitri dah insaf - Pakar kriminologi

Dua pakar menggesa pihak dari jabatan psikiatri dan kesihatan mental untuk memberi jaminan bahawa pesalah simpan bahan pornografi kanak-kanak, Nur Fitri Azmeer Nordin sudah insaf

Menurut pakar kriminologi Akhbar Satar, dia berharap kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bukan hanya perbincangan satu pihak sahaja.

“UKM kalau sudah keluar kenyataan, harap bukan perbincangan sesama sendiri sahaja sebab takut hanya kerana dasar kasihan atau kebijaksanaan, UKM ambil budak itu (Nur Fitri).

“Kalau ada ketua jabatan psikiatri yang boleh bagi jaminan mungkin lagi bagus kerana itu maknanya Nur Fitri sudah diteliti dan diperiksa dari masa ke semasa serta mendapat rawatan sebaiknya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Jelas Akhbar lagi, jabatan psikiatri juga harus bekerjasama dengan pihak polis untuk memantau Nur Fitri bagi mengelakkan kesilapan sama berlaku lagi.


BACA BERKAITAN : 

UKM: Pesalah simpan bahan porno kanak-kanak lanjut PHD sebab cemerlang


“Kalau pihak UKM sudah ambil Nur Fitri jadi pelajar, jangan lepas tangan dan kena terus pantau sebab pesalah seperti ini kita susah nak agak perlakuannya.

“Lagi bagus bekerjasama dengan pihak polis untuk mungkin memeriksa komputer ribanya sebab dulu pun dia (Nur Fitri) ada lebih 3000 gambar porno kanak-kanak dan bagi saya itu satu kesalahan serius,” katanya.

Akhbar juga meluahkan rasa bimbang terhadap status Nur Fitri yang kini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah (PHD).

“Takut bila dah dapat PHD, orang mula hormat dan sanjung dia kemudian ibu- bapa pula lepaskan anak mereka untuk idolakan dia (Nur Fitri). Itu bahaya.

“Boleh jadi kalau dia guna kebijaksanaannya untuk melakukan kegiatan itu kembali, kalau setakat pandai tetapi akhlak tiada susah juga,” katanya lagi.

Terdahulu, media sosial memperkatakan perkembangan Nur Fitri yang kini mengikuti pengajian di UKM.

Pemilik Twitter @_tuantanah berkicau: “Hati-hati warga Bangi 'mamat pedophile' yang kena tangkap di London tapi dibawa balik sebab “genius” tu ada di UKM”.

Ciapannya berkenaan bekas penuntut jurusan Matematik di London, United Kingdom yang pernah ditaja Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu turut mendapat hampir 14,000 kongsi dan 6,800 suka.

Pada Mei 2015, Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, United Kingdom dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London setelah mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Dia didapati bersalah memiliki ribuan video dan gambar lucah pornografi kanak-kanak, termasuk 601 imej "Kategori A" yang menggambarkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur.

Nur Fitri kemudian menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan sebelum kerajaan Malaysia membawanya pulang.

Bagaimanapun, semalam Pusat Komunikasi UKM tampil menjelaskan bahawa pengambilan Nur Fitri sebagai pelajar pasca siswazah doktor falsafah di institusi itu adalah kerana keupayaan luar biasa dan kecemerlangannya dalam pengajian.

UKM turut menjelaskan semenjak belajar di kampus pengajian itu, Nur Fitri tidak menunjukkan perlakuan yang mencurigakan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fauziah Mohd Saad turut senada dengan Akhbar, berkata dia berharap agar pihak psikiatri mampu membuktikan agar Nur Fitri sudah menjalani rawatan mental.

“Kalau pihak psikiatri atau Nur Fitri sendiri boleh bawa bukti yang dia sudah menerima rawatan intervensi ketika berada dalam penjara itu tidak menjadi masalah.

“Dia (Nur Fitri) juga perlu buat kenyataan yang dia yakin dia tidak akan berbuat demikian lagi,” katanya.

Bagi Fauziah, tidak wajar untuk menghukum Nur Fitri jika dia difahamkan sudah benar-benar berubah.

“Kalau betul boleh buktikan kepada kita dia dah sihat, elok bagi peluang untuk masa depannya.

“Tidak wajar untuk kita masih menghukum seseorang yang telah menjalani hukuman di penjara atas kesalahannya sendiri,” katanya.

Lihat Komen
ADS