Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Anwar sokong keputusan tidak hantar pulang Zakir
Diterbitkan:  Aug 25, 2019 10:09 PM
Dikemaskini: 2:17 PM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyokong keputusan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad untuk tidak menghantar pulang pendakwah bebas, Dr Zakir Naik ke India.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat terutamanya selepas Zakir dilarang untuk berceramah, lapor Berita Harian. 

"Kalau kita lihat kenyataan beliau (Zakir) dia konsisten begitu, dia agak provokatif dan dalam wacana antara agama mungkin agak menyinggung. Tetapi saya tidak fikir beliau sengaja nak menghina atau pertikai kedudukan orang Cina atau India.

"Masalah kalau (Zakir) berucap akan timbulkan ketegangan, itu sudah diselesaikan (dengan larangan Zakir berceramah). Oleh demikian saya tidak fikir ini harus dikaitkan dengan gesaan atau desakan supaya dia dikirim pulang ke India.

"Jadi saya sokong untuk beliau kekal di Malaysia, terutama ketika siasatan terhadapnya diteruskan," katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Presiden di Bangunan PKR di Kuala Terengganu.

Terdahulu beliau turut merasmikan bangunan berkenaan dan mengadakan dialog selama satu jam bersama ahli PKR seluruh negeri yang turut dihadiri Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail.

Anwar berkata, beliau sendiri menggesa dan merayu kepada Zakir supaya mengelak daripada menjadi percaturan politik pihak tertentu.

Zakir (gambar) mencetuskan kontroversi selepas beliau mengatakan rakyat Malaysia beragama Hindu lebih menyokong Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding perdana menteri Malaysia.

Pendakwah dari India itu juga menggelar masyarakat Cina sebagai "tetamu lama" dan sekiranya mereka mahu beliau dihantar pulang ke India, maka "tetamu lama" perlu berbuat demikian terlebih dahulu.

Beliau kini sedang disiasat polis berhubung kenyataan tersebut.

Zakir bagaimanapun mendakwa kenyataannya itu diambil di luar konteks namun kemudian memohon maaf.

Pendakwah itu dikehendaki oleh pihak berkuasa India berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan mengeluarkan ucapan kebencian.

Zakir berkata beliau bersedia kembali ke India untuk menghadapi tuduhan itu jika diberi jaminan bertulis bahawa beliau tidak akan ditahan sehingga perbicaraan selesai.


Lihat Komen
ADS