Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia atau lebih dikenali sebagai Kumpulan Baju Merah, dijangka menyampaikan ucapan mengenai hak asasi manusia dan kemiskinan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan depan.

NGO itu sering mencetuskan kontroversi ketika era kerajaan BN apabila sering menganjurkan protes dengan melakukan pelbagai gimik, diketuai oleh pemimpinnya, Jamal Md Yunos.

Ketua baru NGO berkenaan, Baharin Mohd Tahir berkata Jamal telah meletakkan jawatan pada 25 Jan tahun ini.

NGO itu kini memberi tumpuan kepada menyokong hak asasi manusia di negara ini kerana itulah tujuan asalnya, kata Baharin kepada Malaysiakini.

Beliau berkata NGO itu dijemput oleh International Service For Human Rights  dan Amnesty International pada 23 Ogos ini untuk program yang dikenali sebagai "Human Rights Council Elections 2019: Discussions of Candidate States' Visions for membership", sempena pilihan raya anggota bagi penggal 2020-2022. 

"Terdapat dua acara, satu pada 6 Sept, dan satu lagi adalah di Palais Des Nations di Geneva pada 11 September. Kami akan bercakap pada acara 6 Sept," kata Baharin ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Baharin akan ditemani anggota lain Noridzahlan Ridzuan yang juga presiden NGO Malaysia Abata Blue United Organisation.

Tiga topik dibentangkan adalah hak asasi manusia di Malaysia sebagai sebuah negara Islam sederhana; kedaulatan dan perlembagaan persekutuan; dan kemiskinan di Malaysia.

Baharin berkata beliau akan menjawab persepsi salah mengenai kemiskinan di Malaysia seperti yang didakwa oleh wakil PBB di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelapor Khas PBB mengenai Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston sebelum ini menegaskan kadar kemiskinan di Malaysia adalah hampir 15 peratus (937,500 isi rumah), berbanding angka rasmi 0.4 peratus (pada 2016).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata kenyataan Alston adalah "sama sekali tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab."

Ketika diminta mengulas reputasi buruk kumpulan Baju Merah sebagai NGO dan kini akan berucap di pentas antarabangsa, beliau berkata ia bukan isu.

"Ketika pentadbiran Barisan Nasional, ramai pemimpin PH mewakili NGO dan badan-badan untuk berucap di acara antarabangsa. Sekarang mereka telah menjadi kerajaan, tiba giliran kami untuk berbuat demikian. Ini sesuatu yang seimbang," katanya.

Noridzahlan berkata: "jika kamu bercakap tentang reputasi, kerajaan Pakatan Harapan juga mempunyai reputasi yang baik. Sekarang perspektif rakyat benar-benar berubah selepas mereka gagal memenuhi janji-janji mereka.

"Reputasi (Bekas Perdana Menteri) Najib Razak juga tercemar selepas pilihan raya umum. Sekarang kamu boleh lihat beliau semakin mendapat sokongan," katanya. 

Kumpulan Baju Merah ketikapentadbiran kerajaan BN dikenali ramai kerana sering menganjurkan protes jalanan.

Antara tindakan dilakukan Jamal adalah memecahkan botol bir dan muncul memakai tuala di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Pada Mei tahun lepas, beliau dikehendaki atas pelbagai kesalahan termasuk Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kacau ganggu dan Seksyen 34 Akta Senjata Api 1960.

Beliau kemudian melarikan diri ke Indonesia dan kemudian ditahan di Tebet, Jakarta Selatan. Ketika dalam pelarian, Jamal dilantik semula sebagai Ketua Umno Sungai Besar pada pemilihan parti yang lepas.

Baru-baru ini Jamal memutuskan untuk menjual perniagaan hotelnya di Sekinchan selepas mendakwa perniagaannya merosot apabila PH menghalang agensi-agensi kerajaan daripada menempah hotel berkenaan. 

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS