Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PIBG Sekolah Wawasan sangkal dakwaan 'perpaduan pada nama'
Diterbitkan:  Aug 26, 2019 8:57 PM
Dikemaskini: Aug 27, 2019 11:14 AM

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kompleks Sekolah Wawasan USJ15, Subang Jaya, Selangor hari ini menyangkal dakwaan sekolah tersebut gagal memupuk perpaduan di kalangan murid tiga sekolah di dalamnya.

Kompleks Sekolah Wawasan USJ15 merangkumi tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Datuk Onn Jaafar, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tun Tan Cheng Lock dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (T) Tun Sambanthan.

Dalam satu kenyataan hari ini, PIBG sekolah itu menjelaskan program-program yang dijalankan bersama antara tiga sekolah.

"Kompleks Sekolah Wawasan USJ15 mempunyai tiga buah sekolah rendah, maka pentadbiran masing-masing untuk menguruskan hal ehwal kurikulum dan ko-kurikulum. Namun begitu, penggunaan dewan, kantin, dataran dan fasiliti merupakan guna sama bagi warga Kompleks Sekolah Wawasan.

"Sehubungan itu, kita dapat menyaksikan murid-murid serta guru-guru duduk bersama-sama untuk makan dan minum di kantin semasa waktu rehat. Selain itu, kita juga dapat melihat (murid) guna sama padang untuk pendidikan jasmani," kata PIBG sekolah itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pemangku Yang Di-Pertua PIBG SK Dato' Onn Jaafar Chong Ka Foo, Yang Di-Pertua PIBG SJK(C) Tun Tan Cheng Lock Eason Phan Yoke Seng, dan Yang Di-Pertua PIBG SJK(T) Tun Sambanthan Magindren Kuppusamy.

Ia bagi menjawab kenyataan bekas pengerusi PIBG SJK(T) Tun Sambanthan S Murali, yang antara lain berkata objektif Sekolah Wawasan untuk memupuk perpaduan hanya pada nama.

"Nama sahaja Sekolah Wawasan, tapi, semuanya dibuat secara berasingan. Hari kanak-kanak, hari guru, hari sukan tahunan - semuanya asing.

"Cuma hari sukan (yang diadakan dua tahun sekali) melibatkan tiga sekolah. Itu pun antara sekolah, bukannya pelajar Melayu, Cina dan India dalam satu kumpulan bertanding dengan kumpulan lain," katanya.

Murali menjadi pengerusi pada 2005 hingga 2012.


Baca: Kaji selidik: Rakyat M'sia berbelah bahagi terhadap pendidikan satu aliran


Murali juga berkata cadangannya untuk mengadakan aktiviti kokurikulum bersama-sama ditolak secara mentah oleh pihak sekolah.

Mengulas lanjut, PIBG Kompleks Sekolah Wawasan USJ15 berkata mereka telah melaksanakan pelbagai program bersama-sama yang melibatkan murid-murid, guru-guru dan ibu bapa serta penjaga misalnya Sambutan Hari Perayaan, Sambutan Hari Guru, Sambutan Hari Kebangsaan dan Kejohanan Sukan Wawasan.

"Kejohanan Sukan Wawasan kali ke-9 telah berjaya dilaksanakan pada 27 April 2019 dengan penglibatan murid dan guru daripada tiga buah sekolah yang dikumpulkan mengikut warna rumah sukan tidak dibahagikan mengikut sekolah."

Selain itu, mereka berkata mesyuarat bersama turut diadakan bagihal berkaitan dengan kebersihan, keselamatan dan program.

Dicetuskan oleh Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi perdana menteri untuk kali pertama, Sekolah Wawasan merupakan projek rintis untuk merapatkan hubungan antara pelajar sekolah rendah vernakular dan kebangsaan.

Mengikut konsep Sekolah Wawasan, sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan ditempatkan dalam sebuah kompleks dan berkongsi infratruktur seperti padang dan kantin.

Bagaimanapun sesi pembelajaran dan pentadbiran dibuat secara berasingan.

Lihat Komen
ADS