Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis tahan pelajar demo bantah pengurusan pusat latihan
Diterbitkan:  Aug 27, 2019 8:11 AM
Dikemaskini: 12:11 AM

Polis semalam menahan tujuh pelajar Allied Aeronautic Training Centre students (AATC) di Ara Damansara selepas mengadakan bantahan terhadap pengurusan sebuah pusat pengajian swasta.

Turut ditahan ialah anggota jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sharan Raj, yang juga penasihat kepada kesatuan pelajar pusat latihan itu.

Menurut kenyataan media Setiausaha Agung PSM A Sivarajan, pelajar membantah pengurusan yang didakwa menekan kesatuan pelajar.

"Pemilik pusat latihan enggan berunding dengan kumpulan pelajar dan memanggil polis agar mereka ditahan.

"Mereka dibawa ke balai polis Kelana Jaya," kata Sivarajan dalam kenyataan semalam.

Ketika dihubungi, Sharan memberitahu Malaysiakini mereka ditahan pada pukul lima petang semalam.

Katanya, demonstrasi bermula pada pukul tiga petang dan disertai kira-kira 90 pelajar.

Mengikut dakwaan peserta,ia susulan pengurusan membuang dua pelajar kerana terlibat menubuhkan kesatuan pelajar.

Semalam timbalan ketua polis Petaling Jaya Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan Sharan dan tujuh pelajar tersebut ditahan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Beliau berkata mereka ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah, ia membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun, denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Ku Mashariman menganggarkan jumlah pelajar yang hadir ke demonstrasi itu seramai 50 orang dan menamakan Sharan sebagai ketua mereka.

Beliau juga mendakwa pengurusan membuang dua pelajar itu kerana gagal membayar pengajian.

'Pengurusan terbuka untuk berunding'

Sementara itu, AATC mendakwa para pelajar dihasut oleh Sharan Raj sehingga menyebabkan protes berlaku.

Ia di sebalik pertikaian antara pelajar dan institusi itu berkenaan masalah tidak mendapat pinjaman daripada kerajaan.

Dalam kenyataan oleh firma guaman Raj & Sach bagi pihak AATC, ia mendakwa bantahan di depan bangunan pusat latihan itu di Petaling Jaya semalam selepas dua pelajar itu dibuang kerana mengetuai "kesatuan tidak sah".

Kata firma itu, pengurusan AATC sentiasa terbuka untuk berunding dan setuju dengan desakan pelajar agar empat wakilnya dibenar ke kampus untuk mengadakan rundingan.

Bagaimanapun, kata firma itu, AATC hanya mahu membuat rundingan dengan pelajar semasa walaupun kumpulan pelajar itu bertegas agar dua bekas pelajar itu berunding bagi pihak mereka.

"Sharan Raj terus mempolitikkan keadaan dan menghasut pelajar untuk berarak sehingga pintu masuk AATC sambil melaungkan slogan.

"Itu menyebabkan polis berusaha menahan Sharan Raj. Bagaimanapun dua bekas pelajar dan sejumlah pelajar lain menjadi agresif dengan menolak polis dan melawan daripada ditahan," katanya.

Pelajar yang membuat bantahan mendakwa AATC menjanjikan pinjaman kerajaan untuk pengajian mereka melalui dana pembangunan kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia, tetapi tidak menunaikan janji itu dan mendesak mereka untuk membuat pinjaman peribadi dengan sebuah bank.

Pertikaian itu membawa kepada penubuhan kesatuan pelajar yang didakwa AATC sebagai tidak sah yang akhirnya menyebabkan dua pelajar itu dibuang.

Firma guaman itu mempertahankan tindakan AATC membuang mereka.

"Bukan saja pelajar itu gagal membayar yuran, mereka juga enggan menerima bantuan kewangan/pinjaman pelajar oleh AATC dan pada masa sama tidak dapat mengaturkan sebarang bantuan kewangan secara sendiri.

"Memburukkan lagi keadaan, di sebalik usaha berterusan AATC untuk membantu pelajar-pelajar ini, mereka mewujudkan kesatuan pelajar tidak sah, menganjurkan protes terhadap AATC kerana dikatakan gagal membantu mereka mendapatkan pinjaman, terutama pinjaman kerajaan."

Katanya, pinjaman itu sudah tiada dan AATC tidak harus dipertanggungjawabkan atas perkara itu.

Firma guaman itu turut menafikan dakwaan PSM bahawa pusat pengajian itu enggan berunding.

"AATC menyatakan pihaknya pada setiap masa menggunakan pendekatan yang sivil berhubung pertikaian yang berlaku.

"Ia berhak berdasarkan undang-undang untuk membuang dua pelajar itu kerana melanggar perjanjian mereka dengan AATC," kata firma guaman itu lagi.

Lihat Komen
ADS