Malaysiakini
BERITA

Satu dari 6 rakyat M'sia tak tahu, tak peduli agama dan budaya lain

Aidila Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Ogs 2019, 5:40 pagi

Kira-kira satu daripada enam rakyat Malaysia mengatakan mereka tidak tahu mengenai agama dan budaya lain serta tidak berminat untuk belajar mengenainya.

Ditanya mengenai tahap pengetahuan mereka mengenai agama dan budaya lain, 16 peratus berkata mereka tidak tahu sama sekali dan tidak berminat untuk belajar.

Sebanyak 24 peratus responden mengatakan tidak tahu sama sekali tetapi bersedia untuk belajar, manakala baki 60 peratus mengatakan mereka sangat maklum dan agak maklum dengan agama serta budaya lain.

Ini adalah jawapan daripada 1,024 orang di seluruh negara dalam kaji selidik yang dijalankan firma penyelidikan Vase.ai untuk Malaysiakini.

Kaji selidik itu adalah sebahagian daripada penyelidikan untuk artikel Malaysiakini mengenai pendidikan dan integrasi, yang akan diterbitkan esok sempena sambutan Hari Merdeka.

Data yang dilihat mendedahkan keputusan kebanyakannya konsisten merentasi umur dan kumpulan kaum.

Bagaimanapun, dari segi nisbah, responden Bumiputera yang menyatakan mereka tidak tahu atau tidak peduli untuk belajar mengenai agama atau budaya lain hampir dua kali ganda berbanding responden Cina dan India.

Sebanyak 19 peratus daripada responden Bumiputera menyatakan tidak tahu sama sekali dan tidak berminat untuk belajar mengenai budaya dan agama lain, berbanding 10 peratus daripada kaum Cina dan 11 peratus kaum India.

Kaum India adalah yang paling maklum dengan budaya dan agama lain dengan 69 peratus mengatakan ya, berbanding 58 peratus Cina dan 60 peratus Bumiputera.

Bumiputera paling tak selesa lawat tempat ibadat lain

Responden kaum India paling selesa melawat tempat ibadat bagi agama lain dengan 84 peratus responden dan angka itu tinggi sedikit daripada responden dari kaum Cina dengan 82 peratus.

Sebaliknya, hanya separuh responden Bumiputera mengatakan mereka selesa melawat tempat-tempat ibadat agama-agama lain.

Ramai Bumiputera tidak berapa selesa mungkin disebabkan kepercayaan agama mereka, walaupun kaji selidik itu tidak bertanya mengenai perkara itu. 

Melayu beragama Islam, membentuk sebahagian besar daripada masyarakat Bumiputera.

Menjawab soalan sama ada umat Islam boleh memasuki tempat ibadah agama lain, Pejabat Wilayah Mufti Persekutuan tahun lepas berkata ia dibenarkan jika mengikuti syariat Islam.

"Hukum asal seorang Muslim masuk ke dalam rumah ibadat agama lain ialah harus jika mempunyai tujuan yang diharuskan syarak, seperti untuk berdakwah, memenuhi jemputan berdialog antara agama dan sebagainya. Namun kehadiran sewaktu hari perayaan keagamaan mereka adalah tidak dibenarkan.

"Seorang Muslim itu juga diharuskan untuk hadir ke majlis perkahwinan di gereja, bahkan disunatkan jika yang berkahwin itu adalah terdiri daripada keluarga, sahabat handai, jiran tetangga, atau jika kehadiran kita itu mampu memberi sumbangan kepada dakwah Islam," jelasnya.

Pejabat mufti itu berkata demikian ketika ditanya seorang mualaf sama ada dia dibolehkan menghadiri majlis perkahwinan adiknya yang berlangsung di sebuah gereja.

[Baca berita asal]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.