Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS akui Harakah berhutang, tapi bukan sengaja 'lari'

PAS mengesahkan akhbar yang menjadi lidah rasmi parti itu, Harakah, menanggung hutang tertunggak dengan sebuah syarikat pencetak.

Namun Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata jika ada dakwaan mengatakan Harakah sengaja lari daripada syarikat pencetak berkenaan, ia tidak benar sama sekali.

Sebaliknya kata beliau PAS mempunyai sebab tersendiri untuk memilih syarikat lain untuk mencatak Harakah.

"Sebenarnya syarikat yang dulu itu (pencetak lama) sudah muflis, jadi sebab itulah (tukar).

"Saya tak nak bangkitkan, tapi mengenai kita ada tunggakan (dan) sengaja lari itu tidak betul," katanya kepada media ketika ditemui pada program Kibarkan Jalur Gemilang di Kota Bharu, semalam.

Anggota Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian ketika diminta mengulas isu Harakah yang menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Isu tersebut muncul ketika kempen mengajak orang Melayu memboikot produk bukan Melayu atau bukan Muslim digerakkan oleh beberapa pihak, termasuk kumpulan yang cenderung menyokong PAS.

Ekoran itu ada pihak mendakwa bahawa Harakah kini dicetak oleh syarikat bukan milik bumiputera selepas ia gagal melunaskan hutang dengan syarikat pencetak lama.

Sementara itu, Takiyuddin bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai perkara itu.

"Itu masalah perniagaan, memanglah ada tunggakan kepada syarikat-syarikat tapi saya tak nak dedahlah.

"Itu masalah perniagaan. Tunggakan memang ada," katanya.

Lihat Komen
ADS