Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Presiden MCA persoal kewajaran program sarapan percuma sekolah
Diterbitkan:  Aug 28, 2019 11:46 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Presiden MCA Wee Ka Siong mempersoalkan kewajaran program sarapan percuma khas untuk murid sekolah rendah bermula Januari 2020 yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Antara yang dibangkitkan Wee ialah kos perbelanjaan untuk program itu yang menurutnya boleh digunakan untuk perkara lain.

"Adakah kerajaan berhajat untuk membekalkan makanan berkhasiat secara percuma kepada semua pelajar sekolah rendah termasuk mereka yang berasal dari keluarga berada?

"Terdapat 2.7 juta orang murid sekolah rendah di seluruh negara. Berdasarkan perkiraan RM3 sehari untuk 200 hari bersekolah dalam setahun, maka kos penyediaan makanan berkhasiat untuk semua pelajar adalah sebanyak RM1.6 bilion.

"Dalam keadaan PH telah meningkatkan hutang negara melebihi RM100 bilion sejak mereka memerintah, adakah wajar kerajaan terus berbelanja sebegini?" katanya di Facebook, semalam.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Ayer Hitam berkata wang tersebut lebih baik dibelanjakan untuk membantu golongan petani miskin serta membina lebih banyak rumah mampu milik dan kos rendah.

Ketika mengumumkan perkara itu dua hari lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata ia dibuat atas dasar mengambil berat aspek pemakanan murid.


Baca: Soalan-soalan lazim Program Sarapan Percuma murid sekolah


"Anak-anak kita memerlukan jadual pemakanan yang tepat dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan mereka terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari," kata Maszlee.

Wee juga mempersoalkan praktikal program itu memandangkan tabiat pemakanan setiap murid berbeza.

"Kebanyakannya telah siap bersarapan di rumah sebelum pergi ke sekolah. Manakala ada juga yang hanya makan buah-buahan, makanan organik dan bijirin untuk sarapan pagi.

"Persoalannya adakah pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee ini praktikal dan dapat memenuhi aspirasi dan citarasa kebanyakan murid?" soalnya.

Namun beliau berkata tidak keberatan untuk menyokong jika kerajaan meluaskan skop Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang sebelum ini menyasarkan murid dari keluarga berpendapatan rendah, dengan menyertakan murid dari keluarga berpendapatan sederhana.

PSM sambut baik

Sementara itu Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan menyambut baik pengumuman KPM.

Pada masa sama, beliau mengesyorkan beberapa langkah yang boleh dilakukan seiring dengan program itu.

Antaranya ialah:

  • Kanak-kanak dididik mengenai kepentingan makanan dan budaya tidak membazir makanan, serta kesedaran terhadap masalah kebuluran.
  • Melibatkan makanan pelbagai kaum bangsa di Malaysia untuk mempromosi makanan etnik lain.
  • Kanak-kanak diajar untuk membawa bekas makanan sendiri untuk menghindar penggunaan bahan seperti plastik sekali guna dan mempromosi pendidikan menjaga alam sekitar.
  • Kanak-kanak diajar kelebihan pemakanan berkhasiat dan mengetahui nilai makanan seimbang kepada kesihatan.
Lihat Komen
ADS