Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

WAWANCARA | Bapa Kemerdekaan Negara Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj didakwa mangkat dalam kesedihan kerana Umno diharamkan mahkamah, kata cucu beliau, Tunku Muinuddin Putra.

Mengimbau kisah itu Tunku Muinuddin mendakwa Tunku Abdul Rahman menganggap parti terbabit seperti "anak" sendiri.

"Bapa mana yang tidak kecewa apabila anaknya - iaitu Umno - dibunuh dengan keputusan mahkamah mengharamkan parti berkenaan.

"Umno umpama anak darah daging baginda yang dipancung dan dibunuh. Umno yang ada sekarang bukan Umno yang beliau perjuangkan.

"Tunku Abdul Rahman juga meninggal dunia bukan sebagai ahli Umno.

"Yang baginda paling kecewa apabila mahkamah haramkan Umno, itu dia paling kecewa, dia yang lahirkan Umno, didik Ummo. Baginda mangkat dalam kesedihan," katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.

Umno diharamkan pada 1987 apabila berlaku krisis dalaman yang menyaksikan pertembungan di antara Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Mahathir yang ketika itu presiden Umno dicabar Tengku Razaleigh bagi merebut jawatan nombor satu dalam parti itu.

Tengku Razaleigh - ataupun Ku Li - dikatakan hampir memenangi jawatan berkenaan sebelum ketua Pemuda Umno ketika itu, Najib Razak, serta kumpulannya memberikan sokongan kepada Mahathir.

Keputusan pemilihan itu menyaksikan Mahathir memenangi pertandingan dengan kelebihan 43 undi. Ekoran itu 11 penyokong Ku Li mencabar keputusan berkenaan di mahkamah dan ia akhirnya membawa kepada pengharaman Umno.

Untuk rekod, Tunku Abdul Rahman memang pernah bersengketa dengan Mahathir. Ia kemudian memuncak dengan pemecatan Mahathir daripada Umno.

Dr M temani Tunku di saat akhir

Mengulas perkata itu, Tunku Muinuddin berkata, Tunku Abdul Rahman memaafkan Mahathir sebelum beliau meninggal dunia.

"Memang ada perselisihan faham antara almarhum dan Mahathir, namun beliau telah memaafkan.

"Sebelum meninggal dunia Mahathir ada di tepi katil Tunku Abdul Rahman," jelasnya.

Pada 1969 Mahathir menulis surat kepada Tunku Abdul Rahman dan mengkritik kepemimpinan beliau ketika itu khususnya membabitkan isu rusuhan kaum pada 13 Mei tahun berkenaan.

Surat yang diutuskan Mahathir melukai hati Tunku Abdul Rahman dan menyifatkan sekeping surat itu memusnahkan khidmat dan jasanya selama lebih 17 tahun.

Menurut Tunku Muinuddin, datuknya itu memaafkan Mahathir sebelum beliau dimasukkan ke hospital kerana uzur.

Ketika di akhir hayat Tunku Abdul Rahman juga, kata Tunku Muinuddin, doktor yang merawat bekas perdana menteri itu turut mendapatkan pandangan Mahathir - sesuai dengan kedudukan beliau sebagai doktor berpengalaman.

"Tun (Mahathir) yang menasihatkan doktor untuk padamkan suis alat bantuan hayat kerana ketika itu almarhum dah tidak lagi bernyawa," katanya.

Lihat Komen
ADS