Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Konsep saling menerima adalah resipi utama bagi penyatuan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Selepas hampir 62 tahun negara merdeka, rakyat Malaysia sepatutnya sudah sedia maklum dan terbuka untuk menerima serta memahami bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dengan latar sejarah, agama serta adat dan budaya yang berbeza, kata Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Dr Anis Yusal Yusoff.

“Analoginya pasangan bercinta. Apabila berkahwin dan duduk sebumbung maka, nampaklah perangai sebenar masing-masing. Mungkin, pada awalnya sukar untuk menerima kekurangan yang ada, berbeza pendapat dan sebagainya tetapi lama kelamaan ia akan jadi normal dan perkara biasa kerana faktor saling menerima antara satu sama lain.

Dr Anis Yusal Yusoff

“Dalam konteks Malaysia, suka atau tidak, kita tak boleh pilih. Beginilah Malaysia, itulah hakikat yang perlu diterima,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya apabila masing-masing menerima keadaan satu sama lain, adalah lebih mudah untuk saling mengenali, memahami dan menghormati meskipun berlainan kaum, kepercayaan, budaya mahupun bahasa.

Ketegangan stabil

Tidak menolak perbezaan dalam banyak perkara berpotensi mengundang pelbagai masalah, Anis Yusal yang juga Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia berkata jika tidak dibendung, ia boleh diterjemah menjadi api kebencian antara kaum dan etnik di negara ini.

Selepas menghasilkan banyak kajian berhubung isu perpaduan dan hubungan etnik, beliau turut berpendapat peristiwa seperti 13 Mei 1969 wajar dijadikan iktibar bahawa pergaduhan mahupun rusuhan kaum sama sekali tidak mendatangkan kebaikan.

“Ketegangan memang ada, memang senang nak cetus contohnya pergi tepi jalan dan cakap soal keburukan kaum lain. Natijahnya memang boleh bergaduh. Tetapi, siapa yang mahu buat macam tu lebih-lebih lagi kita belajar daripada sejarah sebelum ni.

“Pensyarah saya Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin pernah berkongsi bahawa Malaysia ini keadaannya ‘stable-tension’ (ketegangan yang stabil). Stabil tetapi tahap ketegangan itu memang ada, mudah sahaja untuk sesiapa mainkan sentimen kaum agar menjadi penyebab ketegangan berlaku.

“Bagaimanapun situasi ‘stable-tension’ itu ada juga baiknya kerana boleh dijadikan sebagai ‘check and balance’ (semak dan imbang),” katanya.

Beliau menekankan bahawa perbezaan antara kaum di Malaysia perlu difahami daripada aspek sejarah, demografi dan geografi kerana ada kalanya kaum dari rumpun yang sama juga belum tentu saling mengenali sepenuhnya.

“Malaysia terbahagi kepada Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Sejarah ketiga-tiganya sebelum disatukan membentuk Malaysia tidak sama kerana dijajah dan diperintah oleh pihak yang berbeza.

“Apa ditanya tentang kaum yang ada di Malaysia, masih ramai yang menjawab Melayu, Cina dan India. Itu sebenarnya salah kerana kita ada banyak kaum dan etnik lain seperti Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Iban dan Melanau di Sabah dan Sarawak. Rumpun Melayu juga luas termasuk Jawa, Bugis, Banjar, Minang dan sebagainya.

“Apakah kita cukup mengenali kaum sendiri?” soalnya.

Anis Yusal berkata rakyat Malaysia bukan sahaja berbeza keturunan malah bahasa, dialek, cara hidup dan masakan serta banyak perkara lain turut berbeza.

“Disebabkan itulah, walaupun negara merdeka hampir 62 tahun, kita masih terus mendambakan perpaduan dan penyatuan kaum kerana jika tidak, ia akan menyebabkan kita terus terpisah malah berbalah,” tegasnya.

Elak sentimen perkauman

Setelah hidup bersama berpuluh-puluh tahun lamanya, berapa ramai antara kita yang cakna akan cara hidup, identiti serta perayaan kaum lain?

Umpamanya, jika sesebuah kaum menyambut perayaan atau menjalankan aktiviti keagamaan, ada yang merungut apabila laluan atau jalan raya terpaksa ditutup.

Apakah yang menyebabkan kita masih sukar memahami dan menerima apa yang telah dilalui selama bertahun-tahun ini?

Menjawab persoalan itu, Anis Yusal berkata meskipun Malaysia mempunyai pengalaman dalam mengekang ketegangan kaum daripada berlaku, rakyat pada masa sama harus sedar bahawa ada pihak yang sentiasa ‘menangguk di air keruh’.

Beliau menarik perhatian kepada tindakan segelintir ahli politik yang suka memainkan isu perkauman hingga mencetus masalah dalam menyatupadukan rakyat.

“Ada sesetengah parti politik yang memperjuangkan kaum masing-masing. Macam mana kita nak bersatu jika terdapat parti politik yang hanya berjuang untuk kepentingan satu kaum?” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sekolah dan guru sentiasa memainkan peranan penting dalam usaha memupuk perpaduan antara kaum.

Pengisian mengenai hubungan baik, saling menghormati kaum dan agama berbeza serta beberapa perkara asas yang lain wajar diterapkan kepada pelajar.

“Sekolah boleh buat program lawatan bagi mendedahkan pelajar kepada perkara berkaitan hubungan antara kaum di Malaysia. Adakan lawatan ke tempat tertentu, misalnya, yang boleh memperkenalkan mereka kepada cara hidup kaum lain sekaligus memupuk nilai kebersamaan antara mereka,” katanya.

Menyifatkan sekolah sebagai medium terbaik yang mampu menyatukan pelbagai kaum di bawah satu bumbung, beliau berkata selain bahasa Melayu, bahasa Mandarin dan Tamil juga boleh diajar di sekolah kebangsaan bagi menambah penguasaan bahasa pelajar.

“Sebagai contoh, dengan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi di China sekarang, kita wajar menguasai bahasa Mandarin . Jika kita dapat menguasai sekurang-kurangnya satu peratus pasaran barang-barang yang kita import dari sana, ia tetap memberi keuntungan,” katanya sambil menyifatkan bahasa sebagai elemen yang mampu menyatukan masyarakat.

Titik persamaan

Anis Yusal berkata semua individu perlu berusaha mencari titik persamaan dalam setiap perbezaan kerana asimiliasi antara budaya penting untuk memudahkan setiap masyarakat menerima satu sama lain.

“Namun, yang menjadi isu hari ini adalah apabila ada yang mendabik dada dan menimbulkan rasa kurang senang kepada yang lain. Jika mahu orang hormat kepada kita, kita juga perlu ada rasa hormat kepada orang lain.

“Semua pihak perlu main peranan kerana jika masih ego dan hanya berjuang untuk kaum masing-masing, tidak mustahil ini membawa masalah pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya Perlembagan Persekutuan secara jelas menekankan mengenai amalan saling hormat menghormati antara kaum dan agama dalam kalangan rakyat di negara ini.

Semua individu tidak harus mengundang curiga sesama mereka atau kaum dan agama tertentu, katanya sambil mengingatkan keharmonian negara perlu diterjemah dengan komitmen semua pihak.

Mengenai peranan teknologi dalam menyatukan masyarakat, Anis Yusal berkata kepantasan penyebaran sesuatu maklumat terutamanya di media sosial dikhuatiri disalahgunakan dan disalah tafsir oleh segelintir pihak.

“Media sosial harus dimanfaatkan untuk tujuan memupuk perpaduan, mengenali sesama kaum lain serta berkongsi maklumat berguna agar ia boleh mendidik masyarakat dengan perkara berfaedah.

“Dengan teknologi hari ini, adakalanya saya kurang pasti sama ada kita semakin maju atau mundur. Ini kerana banyak benda (maklumat) yang sampai dan tanpa mengambil masa, kebanyakan kita terus menyebarkannya walaupun belum habis dihadam (baca),” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sekiranya mana-mana individu melakukan sesuatu perkara tanpa berfikir, implikasinya sangat besar dan boleh memudaratkan kaum, agama dan negara.

- Bernama


Lihat Komen
ADS