Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata polis mempunyai bukti untuk menahan dan menghantar pulang guru kimia warganegara Turki, Arif Komis dan keluarganya ke negara asal mereka.

"Tindakan itu diambil oleh pihak polis kerana mereka mempunyai bukti yang menyebabkan mereka (polis) berpendapat mereka (Arif dan keluarganya) tidak harus ada di negara ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden PH hari ini.

Malaysia sebelum ini dikritik kerana menghantar pulang Arif yang mencari suaka di negara ini. Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) menyatakan kebimbangan Arif kemungkinan terdedah kepada bahaya di negaranya sendiri.

Diminta mengulas perkara itu, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak tahu tentang penyeksaan di Turki. Tapi adakah kita mahu menuduh Turki menyeksa rakyatnya? Anda ada bukti tentang penyeksaan itu?"

Arif yang merupakan guru di sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur dihantar pulang ke Turki bersama isteri dan empat anak perempuannya.

FMT melaporkan bahawa Ankara menuduh Arif terbabit dalam kumpulan Gulen, sebuah gerakan sosial berasaskan kepercayaan yang diilhamkan ajaran pendakwah Islam dari Turki dan hidup dalam buangan, Fethullah Gulen.

Kerajaan Turki dan media rasminya menggelar kumpulan tersebut Feto, atau Fethullahist Terrorist Organization, dan menuduh ia mendalangi cubaan rampasan kuasa yang gagal pada 2016.

Sementara itu, pihak yang mengkritik turut mengaitkan tindakan kerajaan itu dengan keengganan menghantar pulang penceramah kontroversi Dr Zakir Naik ke India.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS