story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Setelah 8 bulan, masih ada yang tak segan merokok di restoran

Selepas lapan bulan larangan, masih terdapat pihak yang tidak segan silu merokok di kedai-kedai makan.

Tinjauan rawak Malaysiakini di 12 kedai makan sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya mendapati masih terdapat perokok yang tanpa rasa bersalah tidak mengendahkan larangan merokok oleh kerajaan.

Ini meskipun kajian KKM yang turut disertai NGO Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia terhadap 173 kedai makan sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya pada April lalu mendapati kebanyakan masyarakat sudah mula tidak merokok di premis makanan, malah 104 tempat makan telah bebas daripada sebarang aktiviti merokok.

Susulan pemerhatian terhadap lebih 300 pelanggan baru-baru ini, kira-kira 10 peratus daripada mereka merokok, ketika tinjauan dibuat.

Bagaimanapun separuh daripada jumlah itu tidak mematuhi larangan kerajaan dengan merokok dalam lingkungan tiga meter dari kedai makan.

Sedangkan, tanda larangan bersaiz besar terpampang jelas.

Tinjauan portal ini juga mendapati ketidakpatuhan ini lebih banyak berlaku di kawasan pinggir bandar, seperti di kawasan-kawasan kilang.

Sementara itu, di sebalik larangan, terdapat juga kedai yang menyediakan meja khas yang lebih jauh daripada meja-meja lain untuk membolehkan pihak yang merokok tidak menggangu orang lain.

Kerajaan mewartakan semua premis makanan sebagai tempat larangan merokok berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Bagaimanapun, larangan itu hanya akan dikuat kuasakan pada Januari tahun depan sementara mendidik pengguna mematuhinya.

Pada peringkat awal diperkenalkan, kepatuhan pengguna dilihat amat baik bagaimanapun setelah kritikan demi kritikan, mula ada yang semakin acuh tak acuh.

Pemeriksaan dapati kesalahan makin kurang

Sementara itu, Unit Kawalan Tembakau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberitahu Malaysiakini, di sebalik ketidakpatuhan itu, makin hari sebenarnya makin ramai orang mematuhi larangan itu.

Ketua unit Dr Nor Aryana Hassan berkata, sehingga kini, daripada 129,180 premis yang diperiksa, sebanyak 30, 698 notis amaran dikeluarkan.

Ia, menurutnya, melibatkan 3,477 amaran kepada perokok dan 27, 221 amaran kepada kedai makan yang tidak meletakkan tanda larangan merokok.

“KKM juga bekerjasama dengan NGO dalam menjalankan ujian saringan paras racun karbon monoksida dalam pernafasan ke atas perokok,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Penguatkuasan juga semakin kuat dijalankan, kata Aryana lagi.

Mungkin orang lupa, kata persatuan restoran

Sementara itu, persatuan restoran melihat fenomena tidak patuh arahan itu mungkin berlaku kerana orang makin lupa.

Sedangkan, kedai-kedai makan tidak lagi meletakkan bekas abu rokok dan meletakkan papan tanda larangan besar.

“Mula-mula (ketika mula dikuat kuasa), ketika pelanggan duduk untuk makan dan minum, jika dia mahu merokok, dia akan turun ke tempat parkir untuk menghisap rokok.

“Makin lama, makin orang lupa (tentang larangan itu),” katanya Naib Presiden Restoran India C Krishnan Primas ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.

Beliau juga berkata perbuatan menegur pelanggan yang merokok di premis mereka dianggap hal yang “sensitif”.

“Kita memang tak benarkan merokok. Tapi kalau nak merokok juga, kita tak boleh nak halang. Cuma kita boleh tegur.

“Tetapi nak gaduh dengan mereka tak bolehlah. Sensitif, sampai (pernah) pegawai kesihatan (yang menegur) pun mereka melawan,” katanya.

Beliau berkata ketika awal larangan itu banyak perniagaan kedai-kedai yang merosot sehingga 25 peratus.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini