Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemberian token bukan budaya PKR, kata ketua AMK S'gor

Ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor Najwan Halimi mengingatkan bahawa pemberian token untuk menggalakkan ahli parti terlibat dalam program yang dianjurkan bukan budaya PKR.

Najwan berkata demikian mengulas dakwaan yang mengatakan majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan AMK Muafakat Cabang Negeri Selangor, yang akan diadakan esok bakal dicemari dengan amalan pemberian "token" kepada ahli yang hadir.

"AMK Selangor kesal dengan apa yang disebarkan dan jelas ini (pemberian token) bukan budaya PKR untuk menggalakkan ahli parti terlibat dalam program-program parti.

"Justeru, hentikanlah budaya sedemikian dan kembalilah kepada matlamat asal perjuangan parti," katanya kepada Malaysiakini.


Berita berkaitan: 'Token untuk duit petrol, makan program konvoi Merdeka'


Dakwaan berkenaan pemberian token itu hadir susulan jemputan yang disebarkan melalui WhatsApp yang dikatakan menjanjikan token kepada ahli yang hadir.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan bentuk 'token' yang dimaksudkan.

"Minta semua ahli hadirkan diri dan token akan diberikan kepada yang hadir. Sila berikan nama (kehadiran adalah wajib bagi ahli jawatankuasa AMK Shah Alam)," kata paparan mesej yang dipanjangkan kepada Malaysiakini.

Majlis tersebut dijadualkan berlangsung di Dewan Hamzah Klang, sekitar jam 3 petang esok dengan dirasmikan oleh Timbalan Ketua AMK Muhammad Hilman Idham.

Najwan yang juga merupakan Adun Kota Anggerik mengakui turut menerima mesej yang sama berhubung program itu.

Bagaimanapun, Ketua AMK Hulu Langat, Hanafi Jalalludin yang dihubungi Malaysiakini berkata beliau tidak tahu berhubung perkara tersebut.

"Saya tak tahu," katanya ringkas.

Sementara itu Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata pihaknya maklum mengenai dakwaan pemberian token berkenaan.

Anwar menegaskan bahawa parti akan merujuk pihak yang terlibat ke Lembaga Disiplin sekiranya pemberian token benar-benar berlaku.

"Ada (dakwaan agihan token) disebarkan tetapi jika benar ada berlaku sogokan (wang), kita akan bawa kepada Lembaga Disiplin," katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen, semalam.

Tambah Anwar, PKR memandang serius perkara itu dan menggesa semua pihak menghentikan amalan beli orang atau sogokan wang.

"Kita kena hentikan amalan beli orang atau sogok wang. Ini tidak boleh berlaku dalam parti," tegasnya.

Malaysiakini sudah memanjangkan dakwaan tersebut kepada Hilman, namun belum mendapat maklum balas.

Dalam perkembangan terbaru, Timbalan Ketua AMK Shah Alam Muhammad Idris menjelaskan bahawa token yang ditawarkan adalah bagi "duit petrol dan makan" peserta program konvoi Merdeka.

Lihat Komen
ADS