Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Swasta belum tentu mampu bayar pekerja elaun sara hidup'

Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) Prof Barjoyai Bardai mempersoalkan kemampuan syarikat swasta untuk memberi elaun kos sara hidup (Cola) bulanan RM500 kepada pekerjanya.

“Kalau kita ambil aspek yang mungkin perlu dipersoalkan ialah, mampukah majikan swasta untuk bayar elaun tambahan (Cola) ini berbanding dengan kos operasi mereka yang belum tentu menguntungkan.

“Sedangkan apabila gaji minima diperkenalkan pun, banyak syarikat yang terpaksa tutup kerana tidak mampu untuk menampung dan ini lagi khusus kepada majikan dalam sektor perniagaan industri kecil dan sederhana,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, bagi melaksanakan perkara berkenaan, majikan dan pekerja swasta perlu meningkatkan produktiviti dalam sektor pekerjaan.

“Mereka (Syarikat) hanya akan berupaya untuk membayar gaji atau elaun tambahan ini kalau produktiviti dapat ditingkatkan setanding dengan elaun tambahan yang dibayar.

“Ini adalah isu yang wujud pada masa kini kerana produktiviti tidak meningkat pada kadar permintaan elaun tambahan. Jadi ia (produktiviti) perlu ditingkatkan melalui kemahiran pekerja dengan memberikan mereka motivasi dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun Cola bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020 selain meningkatkan had umur persaraan mandatori kepada 65 tahun

Sementara itu, Barjoyai turut menjelaskan bahawa pihak MTUC sewajarnya membincangkan usul ini bersama syarikat swasta daripada menggesa kerajaan.

“Kalau elaun Cola itu adalah untuk pekerja sektor swasta, jadi itu bukan tanggungjawab kerajaan.

“Tetapi kalau ia meliputi kakitangan sektor awam sama, dia (kerajaan) perlu mencari tambahan sumber bagi menampung elaun ini,” katanya.

Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177), Seksyen 13 menjelaskan perbincangan konstruktif antara pekerja dengan majikan bagi mendapatkan terma penggajian terbaik harus dipersetujui bersama kedua-dua pihak.

Senada dengan Barjoyai, pakar ekonomi Prof Shazali Abu Mansor dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) turut berkata bahawa kerajaan tidak boleh memberikan apa yang pihak MTUC minta kerana bukan dalam skop keperluan mereka.

“MTUC minta itu lain, kalau hendak gesa kerajaan itu selalunya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang minta.

“Kalau kerajaan memang dia tidak boleh laksanakan apa yang sektor swasta minta, tidak mungkin kerajaan boleh bagi,” katanya.

Selain itu, Shazali juga berkata, perkara berkenaan memerlukan penelitian khusus misalnya pemberian elaun berdasarkan kawasan dan kemampuan pihak syarikat swasta.

“Syarikat swasta yang mampu, mungkin boleh pertimbangkan elaun tambahan sebanyak RM500 kepada pekerja di bandar dan mungkin kurang kepada pekerja luar bandar pula.

“Kita tengok kemampuan sebuah syarikat, kalau hendak selaraskan nanti susah sebab takut banyak syarikat swasta yang akan gulung tikar dan pekerja pula akhirnya hilang punca rezeki,” katanya.

Lihat Komen
ADS