Seramai 10 orang telah disoalsiasat berkaitan kes penerbitan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW dalam akhbar Sarawak Tribune, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Talib Jamal.

"Siasatan belum lagi selesai dan tidak ada tempoh masa ditetapkan kerana kami mahu siasatan teliti dijalankan," katanya di Kuching.

Beliau berkata individu berkenaan telah disoal siasat dan dirakam kenyataan untuk membantu proses penyiasatan yang dijalankan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Talib berkata antara aspek yang diberi tumpuan dalam siasatan terhadap Sarawak Tribune ialah untuk mengesan sama ada wujud unsur-unsur jenayah semasa dalam proses menerbitkan semula karikatur itu yang asalnya disiarkan sebuah akhbar Denmark dan diikuti beberapa akhbar di Eropah. Penyiarannya membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Menurut laporan Bernama, karikatur itu diterbitkan dalam Sarawak Tribune pada 4 Februari lepas. Berikutan penerbitan semula karikatur itu oleh akhbar tersebut, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri menggantung permit penerbitan akhbar itu pada 9 Februari lalu.

Menyentuh soal lain, Talib meminta para pegawai kanan polis di negeri ini supaya sentiasa turun ke padang melihat sendiri semua 27 pejabat polis daerah.

"Saya mahu Ketua Jabatan Pengurusan Polis Sarawak dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak melawat 27 pejabat polis daerah dalam tempoh tiga bulan untuk mengetahui dan memahami keadaan negeri ini," katanya.

Beliau berkata amat sukar dan mustahil bagi para pegawai kanan polis untuk membuat sebarang keputusan terutama dalam perkara penempatan pegawai serta anggota dan keperluan logistik yang tepat jika tidak mengetahui keadaan geografi negeri ini yang sama besar dengan Semenanjung.