Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MAICCI: Lebih baik tumpu usaha promosi produk tempatan

Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) berkata pihak yang bergiat dengan kempen boikot produk bukan Muslim sewajarnya menumpukan usaha kepada kempen mengutamakan produk tempatan.

Presiden MAICCI, N Gobalakrishnan berkata kempen boikot produk bukan Muslim sekadar agenda politik pihak tertentu.

"Saya nampak hanya segelintir orang sahaja bertungkus-lumus mempromosikan kempen ini yang jelas mempunyai agenda politik tertentu.

"Kalau mereka serius, saya cadang mereka berkempen mengutamakan barang buatan tempatan berbanding boikot produk bukan Islam," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Kata Gobalakrishnan, kebanyakan barangan yang dijual bukan Muslim di negara ini adalah barangan import.

Justeru, katanya, sekiranya pengguna memboikot barangan import, ia akan menyumbang kepada perkembangan barangan buatan tempatan.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak bersetuju dengan kempen memboikot barangan bukan Muslim dan menyifatkan perkara itu hanya dilakukan oleh pihak yang berfikiran cetek.

Sementara itu, Pengarah Strategik PKR Melaka, G Rajendran berpendapat bahawa kempen boikot produk bukan Muslim sebagai tidak realistik.

Kata Rajendran, pasaraya milik bukan Muslim mempunyai pekerja bumiputera yang akan ikut terjejas sekiranya pasaraya seumpamanya tidak dapat meneruskan perniagaan.

"Saya nampak, ada klip di media sosial minta boikot McD, Starbucks, EconSave dan sebagainya. Setahu saya, hampir 40,000 bumiputera bekerja di syarikat-syarikat ini. Sekiranya kempen (boikot) mereka berjaya, kemungkinan besar 40,000 bumiputera ini akan hilang kerja.

"Jadi, di mana mereka hendak bekerja? Apakah pengendali kempen mampu mendapatkan kerja untuk 40,000 bumiputera ini?" katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lihat Komen
ADS