Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Malaysia baru sahaja meraikan ulangtahun kemerdekaan yang ke-62 dan merupakan sambutan kedua di bawah kerajaan baru PH. Tidak sampai dua hari, kempen ‘Beli Barangan Muslim Dulu’ yang dipelopori kelompok tertentu meledak. Makin melebarkan polarisasi kaum antara Melayu dan bukan Melayu.

Seharusnya umur 62 tahun itu telah menuakan Malaysia dan rakyatnya. Kalau tidak tua, sekurang-kurangnya telah mendewasakan tubuh badan dan mematangkan rasa dan pemikiran.

Ini tidak! Polarisasi kaum makin meruncing, ditambah dengan penggunaan agama sebagai petrol membakar sentimen bangsa.

Semua maklum Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan. Malah identiti Melayu di Malaysia dikait rapat dengan agama Islam. Berbeza dengan melayu Singapura, Pulau Cocos dan Afrika Selatan.

Sudah pasti agama dan apa jua yang bersangkutan dengannya akan dikudakan sebagai alat untuk mengapi-apikan orang Melayu bagi tujuan tertentu. Lebih parah jika agama dan yang bersangkutan dengannya menjadi alat politik kepada parti dan misi tertentu.

Inilah yang kita saksikan di negara kita sejak dua tiga minggu ini. Amat menyedihkan. Tulisan Jawi boleh dijadikan isu kaum dan agama kerana ada puak yang menuduhnya sebagai gerakan Islamisasi terhadap bukan Melayu sedangkan Jawi telah digunakan beratus tahun di Tanah Melayu dan Malaysia sebelum ini.

Penceramah Dr Zakir Naik juga dijadikan polemik perkauman oleh golongan tertentu. Kalau tulisan Jawi menjadi isu antara Melayu dan Cina, isu Zakir Naik pula menjadi isu antara India dan Melayu.

Anehnya yang bising itu bukan rakyat biasa tetapi dari kalangan Menteri Persekutuan dan Menteri Negeri yang tentunya menambahkan ledakan isu tersebut.

Tiada siapa untung

Dan bila “Buy Muslim Goods First” atau Utamakan Barangan Muslim menyusul menambahkan kekusutan simpulan perkauman yang belum terlerai. Mujur kisah pergaduhan di lebuh raya cepat dibendung, kalau tidak pasti itu juga akan mendidihkan lagi jurang perbezaan kaum.

Perasaaan syak wasangka dan benci-membenci antara kaum akan menjadi budaya dalam masyarakat Malaysia pada masa mendatang.

Jika ini berterusan maka sejarah hitam 13 Mei 1969 akan berulang. Tiada siapa yang untung malah merugikan semua kaum termasuk Melayu, Cina, India, Benggali, Orang Asli, Iban atau Kadazan.

Justeru sebelum terlambat, sebelum nasi menjadi bubur, kerajaan harus bertindak. Kalau ia berlaku lagi, maka memang rakyat Malaysia terutamanya para pemimpin politik tidak pernah belajar dari sejarah.

Malaysia telah melalui dua fasa apabila dua naratif yang dibangunkan pada ketika itu menjadi nadi atau enjin kepada pembangunan negara dan pembinaan jati diri bangsa Malaysia ketika itu.

Rukun Negara adalah satu naratif bersejarah dan ia merupakan naratif yang sangat efektif. Ia merupakan pencernaan keseluruhan Perlembagaan Malaysia yang memudahkan rakyat memahami dan merasa mereka sebahagian daripadanya.

Setiap pagi ikrar Rukun Negara dibacakan di sekolah dan pejabat kerajaan. Pelbagai acara dijalankan untuk memartabatkan Rukun Negara dalam hidup rakyat di semua peringkat. Malah ia dicetak di belakang semua buku latihan sekolah ketika itu.

Rukun Negara menjadi gagasan yang berpengaruh dan membina jati diri serta semangat patriotik melewati batas kaum dan agama.

Perpaduan, cara hidup demokratik dan progresif, kemakmuran negara yang dikongsi dan dinikmati bersama, semua nya digarap dan dirangkul dalam satu naratif yang lengkap disamping menjulang perlembagaan sebagai asas perpaduan, meluhurkan undang-undang serta meningkatkan sivik dan jatidiri rakyat.

Tiada yang mempersoalkan Perlembagaan Malaysia ketika itu. Semua tahu ia dibina secara sepakat. Semua kaum ada peranannya dan semua pandangan diambilkira.

Dan apabila telah termaktub dan diterima, maka jadilah ia satu kontrak sosial yang di terimapakai, dihormati dan dilaksanakan sebagai satu yang sakral.

Naratif kedua yang mempengaruhi hidup rakyat Malaysia pasca 13 Mei ialah Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991.

Seperti Rukun Negara, Wawasan 2020 menggariskan sembilan cabaran dalam membentuk Bangsa Malaysia yang bersatu, merdeka, demokratik, bermoral, maju dan saintifik, serta adil dan saksama ekonominya.

Lebih kurang sama tetapi yang penting ia merupakan sesuatu yang menyegarkan setelah 20 tahun Rukun Negara dilaksanakan. Dan pastinya kapsul masa Wawasan 2020 akan digali semula pada tahun hadapan walaupun gagasan Wawasan 2020 ‘telah berkubur’ atas sebab-sebab tertentu.

Perlunya naratif baru

Sentimen dan kemelut yang sedang kita hadapi sekarang mendesak untuk naratif yang baru. Moral rakyat ketika ini berada di tahap paling rendah, patriotisme merudum, polarisasi kaum makin melebar dan rakyat mengeluh dengan beban kos sara hidup yang terus meningkat.

Sedikit sahaja isu pasti ia akan meledak menjadi isu perkauman. Dengan media terbuka, makin ramai yang berani dan lantang mempersoalkan Perlembagaan Malaysia.

Ibarat retak menanti belah, keadaan kita ibarat telur dihujung tanduk. Ahli politik, kerajaan dan pembangkang terutama Kementerian Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional harus bekerja lebih keras sebelum nasi menjadi bubur.

Justru naratif baru bagi Malaysia baru sangat mendesak sekarang. Naratif baru ini harus menyelesaikan masalah perbezaan kaum dan meningkatkan jatidiri semua kaum di Malaysia terutama Melayu supaya saling menerima dan membantu satu sama lain.

Kesatuan dalam perbezaan bangsa dan agama harus diutamakan malah seharusnya menjadi aset yang sangat berharga bagi Malaysia.

Kedua, naratif baru itu mestilah memberi arah kepada pembangunan yang mampan dan mengurangkan jurang ekonomi antara kaum.

Seperti yang sering dikatakan oleh pemimpin-pemimpin seperti Anwar Ibrahim dan Daim Zainudin, plan afirmatif pembangunan dan ekonomi untuk Malaysia Baru seharusnya lebih kepada berasaskan keperluan dan tentunya Melayu, India, Iban, Kadazan dan Cina yang miskin harus diutamakan.

Kita telah berpengalaman dalam membangunkan dan menggerakkan dua naratif yang berkesan sebelum ini. Pastinya pengalaman lalu dapat mempercepat pembangunan naratif baru buat Malaysia Baru.

Dan pengalaman lalu juga akan memudahkan naratif baru itu nanti dilaksanakan hingga menjadi satu gagasan yang hidup dalam kehidupan seharian rakyat, pemimpin, dan pegawai kerajaan. Apatah lagi dengan bantuan teknologi baru seperti data analitik dan media sosial.

Sayanglah kalau kerajaan yang ada ini tidak memikirkanya dan membetulkan kelemahan dan kesilapan yang menonjol di depan mata.


YUNUS TASIM Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS