Anak kepada hartawan Indonesia Harijanto Karjadi mendakwa terdapat “komplot jahat” dalam kes penghantaran pulang ayahnya ke republik itu.
Pihak polis daerah bagaimanapun menafikan terdapat tangkapan dibuat terhadap warganegara yang diburu polis Indonesia itu.
Max Reyner Karjadi, 32, membuat dakwaan itu dalam laporan polis di Sentul, Kuala Lumpur pada 28 Ogos lalu.
“Saya mengesyaki wujudnya komplot jahat membawa keluar ayah saya dari Malaysia ke Indonesia melalui jalan yang tidak sah di KLIA,” menurut laporan polis itu yang dikongsi rakan perniagaannya dengan Malaysiakini.
Tiga rakannya itu yang mengunjungi Malaysiakini minggu lepas mendakwa Harijanto dihantar pulang ke Indonesia menggunakan jet peribadi seorang taikun perniagaan Indonesia Tomy Winata.
Menurut mereka jet itu dikenali sebagai “TW Air”.
Dalam laporan polisnya, Max Reyner, 32, berkata kakaknya Shelia menelefonnya dari Indonesia dan memberitahu mendapat maklumat berkaitan perkara itu.
Media Indonesia melaporkan Harijanto ditangkap polis Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol) di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 31 Julai dan dihantar kembali ke Indonesia sehari selepas itu.
Notis merah dikeluarkan terhadap Harijanto, 65, selepas didakwa terlibat dalam kes penyelewengan dan pengubahan wang haram di Bali, Indonesia.
Malaysiakini difahamkan Harijanto ditahan ketika cuba meninggalkan negara itu untuk melancong ke Hong Kong.
Kes itu dikatakan berkaitan penjualan saham sebuah syarikat. Nama Tomy, taikun bank Indonesia, turut terheret sama dalam kontroversi itu.
Sementara itu, rakan perniagaan Harijanto, Aedi Nusantara, 58, menyifatkan apa yang berlaku sebagai “penculikan”.
“Ini kan masalah besar, masalah serius. Pertama, penculikan melanggar undang-undang, melanggar kedaulatan Malaysia.
“Enggak boleh dong polisi Indonesia main tarik begini. Sama saja polisi Malaysia, main angkut (orang) Indonesia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ACP Zulkifli Adamsah, menafikan ada sebarang tangkapan.
"Polis menafikan ada tangkapan, dan tidak tahu-menahu apa masalah dia (Harijanto) di Indonesia," katanya.
Malaysiakini juga telah menghubungi pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSP) Bukit Aman, JSJ Selangor dan pihak polis negeri dan masih menunggu maklum balas mereka.
