Malaysiakini
BERITA

Umur pencen: MTUC kesal PM tolak cadangan mentah-mentah

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Sep 2019, 5:12 pagi

Kecewa dengan penolakan perdana menteri melanjutkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta beliau mengusulkan penyelesaian alternatif bagi mengatasi masalah kumpulan pesara.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menolak cadangannya tanpa sebarang kajian dan sebelum mendengar pandangan pekerja.

"Kami menyesal Mahathir memilih untuk menolaknya mentah-mentah tanpa menawarkan sebarang cadangan lain untuk menangani masalah yang berkaitan seperti gaji minimum dan tidak mencukupi, peningkatan kos sara hidup dan simpanan KWSP yang rendah," kata Solomon dalam kenyataan hari ini.

Solomon berkata MTUC tidak setuju dengan penjelasan Mahathir bahawa sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan, ia akan menyekat peluang pekerjaan generasi muda daripada mendapat kerja dan akan menyebabkan limpahan tenaga kerja.

"Pemikiran ini mengelirukan logik kerana ramai pekerja yang lebih tua mempunyai pengalaman hebat dan bekerja keras walaupun mereka sudah tua.

"Sudah tentu ada yang malas tapi yang malas turut berada di kalangan generasi muda. Kemalasan adalah satu sikap dan melangkaui (faktor) umur," tambah beliau.

Solomon turut menolak kenyataan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa melanjutkan had usia bersara kepada 65 tahun akan menyekat peluang pekerjaan generasi muda.

Katanya, kenyataan Syed Saddiq tidak masuk akal kerana kebanyakan rakyat Malaysia tidak berkerja kerana gaji rendah ditawarkan sektor swasta dan bukannya kerana peluang pekerjaan sedikit.

"Ini menyebabkan banyak golongan muda merebut peluang pekerjaan di luar negara kerana gaji yang lebih baik yang sepadan dengan kelayakan mereka," katanya.

Sololon menambah berkata pengangguran generasi muda tiada kaitan dengan saranan untuk melanjutkan had umur persaraan.

"Beliau nak jadi juara di kalangan pemuda. Tetapi jangan lakukan dengan mengorbankan pekerja dalam kumpulan B40 dan M40 yang bergelut setiap hari dengan masalah gaji yang rendah, kos sara hidup yang tinggi dan penjimatan yang tidak mencukupi dalam KWSP," katanya.

Solomon berkata majikan di sektor swasta tidak mengisi kekosongan jawatan dikongkan oleh pekerja yang bersara untuk menjimatkan kos operasi dan mengurangkan tenaga kerja.

"Tiada majikan sektor swasta memberi jaminan bahawa kekosongan jawatan selepas yang bersara akan digantikan. Sebaliknya, mereka mencari jalan supaya jawatan tersebut tidak diisi atau menawarkan kepada pekerja asing dengan gaji rendah atau tidak mengena dengan jawatan tersebut," katanya.

Solomon juga menyelar Syed Saddiq dalam isu gaji minimum.

"Walaupun ramai pekerja di sektor swasta terdiri daripada golongan belia, Syed Saddiq mengambil pendirian berdiam diri ketika MTUC menggesa kerajaan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,800 sebulan," kata beliau.

Solomon menyeru Mahathir supaya menimbang semula keputusannya dan meminta kajian terperinci dibuat.

"Ia masih tidak terlambat memandangkan Bajet 2020 hanya akan dibentangkan pada bulan depan," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.