Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Melenguhnya kerbau, Rais tak dapat perjuangan Zakir yang boleh dipandang
Diterbitkan:  Sep 4, 2019 1:21 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Rais Yatim mempersoalkan kenapa pendakwah kelahiran India, Dr Zakir Naik mempunyai status pemastautin tetap (PR) di negara ini.

"Kita membelakangkan perundangan negara kita dari segi masuknya seseorang mendapat taraf PR, tanpa sesuatu yang dijelaskan kepada rakyat apa sebenarnya faedah yang akan diperoleh yang mufti kita tak boleh beri.

"Adakah sebab beliau boleh mengislamkan orang tertentu sahaja atau ada ilmunya yang orang Malaysia tak ada? Saya ingin tahu juga sebab-sebabnya tapi sampai ke saat ini 'melenguhnya kerbau di padang', saya tak ada dapat perjuangan yang boleh dipandang," katanya.

"Bagaimana beliau mendapat taraf PR? Adakah bergantung kepada pelaburan yang beliau bawa?" soal Rais.

Bekas menteri Umno itu berkata demikian pada Wacana Sinar Harian siri ke-124 berjudul 'Perpaduan Kaum Di Malaysia: Makin Kukuh Atau Makin Jauh?' di Dewan Karangkraf, di Shah Alam, semalam.

Zakir mencetuskan kontroversi selepas membuat kenyataan yang dianggap tidak sensitif terhadap masyarakat Cina dan India di Malaysia pada majlis syarahan di Kelantan bulan lalu.

Dia dipetik sebagai berkata bahawa penganut Hindu di Malaysia lebih menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, selain turut merujuk bangsa Cina di Malaysia sebagai 'tetamu lama'.

Walaupun mendakwa bahawa kenyataannya telah diambil luar daripada konteks, dia tetap meminta maaf.

Rais mengulangi pendirian terdahulu bahawa Zakir perlu dihantar pulang untuk mengurangkan kontroversi di negara ini.

"Zakir sudah tidak begitu diterima di Indonesia dan beliau ada kes di India. Arab Saudi pun tolak beliau tapi kita terima.

"Saya berpendapat eloklah diredakan dahulu. Kalau Zakir nak balik dulu, eloklah," katanya.

Rais memetik laporan yang tidak disahkan bahawa kerajaan Arab Saudi menolak suaka politik bagi Zakir.

Lihat Komen
ADS