BERITA Malaysiakini

Rentas Selat Melaka, babi hutan Indonesia ceroboh Melaka

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mengejutkan, babi hutan kini berupaya berenang merentasi Selat Melaka dari Sumatera ke Melaka.

Exco pertanian negeri Norhizam Hassan Baktee berkata perkara itu tidak dijangka, walaupun babi hutan memang diketahui pandai berenang.

Perkara itu, katanya, menyebabkan populasi haiwan itu meningkat di negeri bersejarah itu, lapor The Star.

“Pencerobohan babi hutan dari Indonesia ini amat mengecewakan kami memandangkan populasi haiwan liar di negeri ini makin bertambah.

“Melaka kini dipenuhi dengan babi hutan dari Indonesia” ujar beliau.

“Pulau Besar dilihat menjadi destinasi pilihan utama babi-babi hutan ini sebelum meneruskan perjalanan ke Ujong Pasir dan kawasan pantai lain,” katanya.

Norhizam Hassan Baktee 

Tambah beliau lagi, populasi babi hutan di Pulau Besar juga mampu untuk mengatasi jumlah populasi penduduk sekiranya tidak dikawal dengan baik.

Justeru itu, jabatan perhilitan negeri Melaka kini sedang menjalankan program untuk menghapuskan sejumlah besar babi hutan di negeri itu.

Untuk membanteras masalah itu, Jabatan Perhilitan membawa masuk tiga penembak tepat untuk menyelamatkan Pulau Besar.

Pulau Besar terkenal sebagai tempat mistik dengan dengan adanya beberapa telaga dan peninggalan seperti kubur-kubur lama.

Laksamana Cheng Ho dikatakan pernah berlabuh di pulau itu sebelum meneruskan ekspedisi ke India, Sri Lanka dan Afrika.