Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Hussein kekal presiden DPMM
Diterbitkan:  Sep 5, 2019 4:00 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee adalah Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang sah selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini merekodkan penghakiman persetujuan antara DPMM dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya merekodkan penghakiman itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam T. Balan Nair dan S.Ranjini yang mewakili DPMM yang merupakan pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan Aisyaf Falina Abdullah mewakili tiga responden iaitu Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Kuala Lumpur dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Balan Nair berkata Mariana merekodkan penghakiman persetujuan secara baik tanpa perintah terhadap kos.

Katanya penghakiman itu direkodkan berdasarkan perintah yang dikeluarkan RoS semalam di bawah Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966.

RoS dalam perintah itu telah memutuskan bahawa Mesyuarat Agung Luarbiasa DPMM pada 22 Nov 2018, pukul 10 pagi adalah sah selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan keputusan Mesyuarat Majlis Eksekutif Dewan (MED) pada 21 Nov tahun lepas yang mana keputusan dibuat dalam mesyuarat tersebut juga adalah sah termasuk dengan pemecatan Presiden DPMM (Rizal Faris Mohideen Abdul Kader) yang berkuat kuasa mulai tarikh keputusan dibuat.

RoS juga mengeluarkan arahan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan pada 22 Nov tahun lepas pukul 2 petang dan keputusan yang dibuat termasuk pemecatan 18 orang ahli MED adalah tidak sah.

RoS juga memutuskan Mesyuarat Agung Tahunan pada 15 Jun lepas adalah selaras dengan Fasal 21 Undang-undang Tubuh DPMM dan segala keputusan yang dibuat dalam mesyuarat agung tahunan tersebut termasuk pemilihan ahli MED adalah sah berkuat kuasa mulai 15 Jun tahun lepas.

Perintah itu juga menyatakan peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Kementerian Kewangan yang dimasukkan terus ke akaun Yayasan DPMM Pulau Pinang telah melanggar Fasal 29.1 Undang-undang Tubuh DPMM kerana tiada kelulusan MED.

Perintah itu juga menyatakan tindakan lanjut yang telah diambil dan yang akan diambil berhubung pelanggaran itu hendaklah diuruskan selanjutnya oleh MED yang telah dilantik dalam mesyuarat agung tahunan pada 15 Jun tahun lepas.

Terdahulu Balan Nair memberitahu media bahawa mahkamah juga membenarkan DPMM mengakses Sistem Elektronik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (eRoses) bagi mengemas kini senarai barisan kepimpinan baharu pertubuhan itu.

Pada 28 Jun lepas, media melaporkan Syed Hussien menyatakan beliau adalah Presiden DPMM baharu yang sah dan dipilih oleh sembilan daripada 15 cawangan negeri yang hadir pada mesyuarat agung tahunannya (AGM) pada 15 Jun lepas.

Beliau berkata pihaknya tidak dapat mengemas kini senarai barisan kepemimpinan baharu di dalam sistem RoS kerana tidak mempunyai kata kunci untuk mengakses sistem tersebut kerana ia dipegang oleh Rizal Faris dan Setiausaha Agungnya, Don Nazwim Don Najib.

Pada 29 Julai lepas, Syed Hussein memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi pihak DPMM di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bagi memohon suatu deklarasi bahawa senarai terkini penjawat DPMM seperti yang tertera dalam carian RoS ("Senarai Penjawat DPMM yang dipersoalkan") pada 28 Mac lepas adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau juga memohon untuk membatalkan keputusan responden-responden yang mengindorskan senarai penjawat DPMM yang dipersoalkan berkenaan dengan akaun DPMM di bawah eRoses seperti yang dicerminkan dalam carian RoS pada 18 Jun lalu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS