Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Antara sebab momentum kempen menentang pembinaan Empangan Papar di Sabah kian perlahan ialah kerana sesetengah penyokongnya dikatakan semakin berdiam diri selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

"Salah satu sebabnya... Sebelum ini ketika kami melawan (projek itu), kita ada ramai penyokong.

"Tetapi sekarang, apabila ada kerajaan baru, ramai kawan kami telah jadi sebahagian daripada kerajaan... ada yang bantu kami (dulu) kini telah jadi menteri (negeri). Mereka telah buat pusingan U dan berdiam diri," kata Pengerusi Gerakan Bantahan Empangan Kaiduan/ Papar (Takad) Diana Sipail.

Beliau berkata demikian di sebuah forum berkenaan Empangan Papar di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) semalam.

Ia bagi menjawab soalan seorang hadirin berkenaan semangat solidariti komuniti di Ulu Papar, di mana projek empangan itu akan dibina.

Pada Oktober lalu, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan pembinaan empantan itu walaupun terdapat bantahan daripada masyarakat peribumi tempatan.

Kata Shafie, empangan itu diperlukan untuk membekalkan air kepada penduduk Sabah yang semakin meningkat, serta untuk industri pelancongannya.

Sementara itu, masyarakat peribumi di Ulu Papar mengecam kerajaan negeri kerana tidak menunaikan janji pilihan raya untuk membatalkan projek itu sebaliknya membuat penjemaan semula.

Selepas menyampaikan memorandum bantahan di Pejabat Perdana Menteri dan beberapa kementerian semalam, Diana memberitahu Malaysiakini bahawa projek Empangan Papar sama seperti projek Empangan Kaiduan yang diumumkan kerajaan negeri terdahulu pada 2008.

Katanya, lokasi dan saiz kedua-dua empangan lebih kurang sama, walaupun namanya berbeza.

Mengulas lanjut, Diana berkata Takad telah berkempen menentang projek empangan selama sepuluh tahun dan berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) dan Warisan pada PRU ke-14 susulan janji untuk membatalkan projek Empangan Kaiduan.

"Jadi selepas mereka menang dan jadi kerajaan pada Mei lalu; beberapa bulan kemudian iaitu Ogos, Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah mengumumkan projek itu akan diteruskan sebagai Empangan Papar.

"Ia lokasi sama... Menjejaskan sungai dan orang yang sama, dan tiada perubahan langsung," katanya lagi.

Projek Empangan Papar yang bernilai RM2 bilion akan melibatkan ketinggian antara 150 hingga 200 meter dan akan menenggelami kawasan seluas 522 hektar.

Takad membantah projek itu atas sebab ia akan menenggelami tanah adat dan kampung yang didiami masyarakat peribumi negeri itu, selain memusnahkan hutan.

Selain itu, Takad berkata lebih 3,000 orang peribumi di daerah Penampang dan Papar perlu berpindah ke kawasan lain, seterusnya akan mengubah gaya hidup mereka.

Lihat Komen
ADS