Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas ketua hakim dijangka ketuai j'kuasa kaji alternatif hukuman mati

Selaras dengan keputusan kabinet pada 29 Ogos lalu, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji alternatif kepada hukuman mati mandatori, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Dalam kenyataan, beliau berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh seorang bekas ketua hakim negara, dan dianggotai antara lain bekas hakim Mahkamah Persekutuan, bekas pegawi Jabatan Peguam Negara, bekas pegawai kanan Jabatan Penjara Malaysia, wakil Majlis Peguam, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), ahli akademik, pakar kajian jenayah dan wakil pertubuhan masyarakat sivil.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Richard Malanjum, yang bersara daripada jawatan ketua hakim negara April lalu, dijangka mengetuai Jawatankuasa Khas

Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori.

Nama lain yang disebut untuk menganggotainya ialah pengerusi bersama jawatankuasa hak asasi manusia Majli Peguam Andrew Khoo dan peguam hak asasi Edmund Bon, yang kini pengarah Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR).

Sumber juga memberitahu bekas Peguam Cara Negara II Zauyah Be Loth Khan, ahli kriminologi Universiti Sains Malaysia P Sundramoorthy dan pensyarah undang-undang Universiti Malaya Farah Nini Dusuki antara yang dijangka menganggotai jawatankuasa itu.

Mandat jawatankuasa itu ialah untuk mengkaji hukuman alternatif bagi undang-undang yang membawa hukuman mati mandatori.

Kajian itu dijangka mengambil masa dua atau tiga bulan sebelum mengemukakan syornya, kata sumber itu lagi.

Pada 4 Julai, Liew berkata kerajaan sedang menimbang untuk menggantikan hukuman mati mandatori bagi sebelas kesalahan jenayah.

Di bawah cadangan pindaan itu, hukuman mati masih boleh dijatuhkan hakim, selain hukuman penjara 30 tahun atau penjara seumur hidup.

Jawatankuasa khas itu dijangka mengkaji lebih lanjut perkara itu dan mengemukakan cadangan muktamad berkenaan pindaan itu.

Sementara itu, Liew dalam kenyataan berkata walaupun kerajaan masih boleh menjatuhkan hukuman mati berdasarkan budi bicaranya, ia perlu berdasarkan "fakta kes".

Kerajaan mengambil langkah proaktif dan berhati-hati dengan menubuhkan jawatankuasa khas ini bagi memastikan hukuman alternatif ini adalah setimpal dengan kesalahan jenayah yang dilakukan serta mengambil kira implikasi dan kebajikan terhadap mangsa perlakuan jenayah tersebut," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS