Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TPM risau orang muda habiskan masa hingga 8 jam di internet

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan kerisauan terhadap golongan muda yang memperuntukkan masa sehingga lapan jam sehari bagi melayari internet.

Beliau berkata, kajian pengguna internet 2018 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendapati purata tempoh melayari Internet adalah selama 6.6 jam sehari.

Daripada kajian itu katanya, 93.1 peratus pengguna mengakses Internet melalui telefon pintar.

"Golongan belia pula memperuntukkan secara purata lapan jam sehari berada di dalam talian.

"Kajian Programme for International Student Assesment (PISA), UNICEF mendapati penggunaan internet yang ekstrem iaitu lebih enam jam sehari mengakibatkan kepuasan dan kesejahteraan hidup menjadi rendah berbanding penggunaan Internet sederhana iaitu selama satu hingga dua jam sehari.

"Situasi ini akan menjadi lebih membimbangkan sekiranya penggunaan Internet oleh kanak-kanak dan remaja tidak dipantau oleh ibu bapa atau penjaga,"katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Hari Produktiviti Bersama Komuniti dan Peluncuran Buku Panduan Awaspada Keselamatan Siber MCPF di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor hari ini.

Hadir sama, Rektor UIAM Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Abd Latif Abu Seman dan Ketua Eksekutif Cybersecurity Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab.

Gejala dadah digital

Dalam pada itu, Wan Azizah yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, permainan dalam talian (e-sukan) kini sudah menjadi trend dan mampu menjana pendapatan sehingga RM1 bilion.

Bagaimanapun, ia perlu dikawal dan dipantau bagi memastikan golongan muda ataupun belia tidak ketagih.

Sementara itu Wan Azizah mengingatkan ibu bapa supaya mengawal anak-anak dalam melayari internet bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan "dadah digital".

Beliau berkata, lebih membimbangkan lagi apabila kanak-kanak seawal usia dua hingga tiga tahun telah mula bermain gajet atau peranti digital seperti tablet dan telefon pintar.

"Ini merupakan satu permasalahan di era digital yang dikenali sebagai ‘digital drug’ yang dikatakan berlaku apabila seseorang individu menghabiskan masa lebih daripada empat jam menggunakan internet untuk sesuatu perkara yang tidak ada kaitan dengan pekerjaan atau pembelajaran.

"Ramai ibu-bapa pada zaman ini gemar ‘mendidik’ anak-anak mereka untuk menggunakan gajet sejak kecil," katanya.

"Amerika Syarikat, Korea Selatan dan China sudah mengenal pasti ketagihan dalam dadah digital. Di Korea Selatan, mereka sudah mempunyai klinik atau pusat rehabilitasi dadah digital manakala China mempunyai statistik bagi Penagih Dadah Digital," katanya.

Lihat Komen
ADS