Paling Popular
Terkini

LAPORAN KHAS | Pekerja Bangladesh didapati bertukar tangan dari majikan ke majikan tanpa persetujuan mereka, seperti perhambaan dalam perdagangan yang melanggar undang-undang.

Perdagangan manusia ini dibongkar melalui siasatan bersama Malaysiakini dan media Bangladesh Kaler Kontho.

Temu ramah dengan lebih 100 pekerja, ejen sumber manusia dan majikan pekerja asing telah membongkar kewujudan sebuah komplot yang memerangkap pekerja Bangladesh sejurus selepas mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pekerja-pekerja ini direkrut oleh firma sumber manusia di Bangladesh dan menandatangani kontrak dengan syarikat Malaysia yang bakal menjadi majikan.

Namun, setelah tiba, siasatan media mendapati pekerja-pekerja ini diserahkan kepada pihak ketiga, termasuk ejen sumber manusia tidak berlesen yang seterusnya menawarkan mereka ke firma-firma lain.

Ini meletakkan mereka dalam situasi yang bahaya, sama ada ditangkap oleh imigresen dan dihantar pulang, kerana pekerja asing tidak dibenarkan bekerja dengan syarikat selain yang tertera dalam permit pekerjaan.

Pada masa sama, apabila berlaku eksploitasi atau penderaan, pekerja-pekerja yang tidak fasih berbahasa Malaysia ini tiada pilihan kecuali untuk lari dari majikan pihak ketiga yang mengambil mereka.

Menurut pengarah bersama Tenaganita, sebuah NGO pembela hak pekerja masing, Aegile Fernandez (gambar) berkata, kebanyakan pekerja asing dijual beli. 

“Majikan yang ‘membeli’ pekerja ini akan membuat potongan gaji bulanan untuk menampung kos ini,” katanya, yang pernah mengendalikan kes seperti ini.

“Ini selalu melibatkan pekerja pasar raya atau industri kecil. Pekerja-pekerja asing bekerja di sana, tapi permit mereka adalah untuk syarikat lain,” katanya kepada Malaysiakini.

Dari pekerja pembinaan ke pasar raya

Seorang pekerja yang terperangkap dalam komplot ini adalah Anwar Hossain. Beliau lari dari hostel pekerja selepas hanya tujuh hari.

Anwar masuk ke Malaysia melalui perjanjian kerajaan ke kerajaan tambahan (G2G Plus) antara Putrajaya dan Dhaka.

Menurut kontrak pekerjaannya, majikannya merupakan Pembinaan NKZ Sdn Bhd (PKNZ), sebuah syarikat pembinaan dan penyelenggaraan yang didaftarkan di Terengganu.

Namun, menurut Anwar, setelah tiba di KLIA, dia dijemput oleh dua orang pegawai penyelia dari syarikat Gold Mine Trading Sdn Bhd, iaitu syarikat perdagangan am dan pembersihan.

Anwar merupakan salah seorang antara 94 pekerja Bangladesh yang menandatangani kontrak untuk bekerja dengan PKNZ.

Menurutnya, separuh dari mereka melarikan diri dari majikan dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI). Pasport mereka dipegang oleh Gold Mine.

“Masa saya tiba di Malaysia, saya fikir saya akan mendapat satu bilik yang cantik, gaji yang bagus dan makanan yang sedap.

“Tapi dalam hanya tujuh hari, saya menyesal datang ke sini,” katanya, yang merupakan seorang dari tujuh pekerja PKNZ yang bercakap dengan Kaler Kantho.

Antara syarikat yang menerima pekerja Bangladesh dari Gold Mine adalah satu syarikat pasar raya borong yang terkenal.

Menurut slip gaji yang dilihat Kaler Kantho dan Malaysiakini, pekerja Bangladesh yang sepatutnya digajikan oleh PKNZ dihantar oleh Gold Mine ke pasar raya ini di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Slip gaji pekerja menunjukkan potongan dibuat untuk tempat tinggal. Gambar tempat tinggal menunjukkan empat pekerja sedang tidur di tilam tidak bercadar di atas lantai sebuah bilik yang suram (gambar di atas).

Potongan gaji lain dilabel sebagai advance (pendahuluan). Jumlah potongan buat salah satu bulan mencecah RM900.

Beberapa pekerja yang ditemu ramah Kaler Kantho mengeluh yang potongan tersebut dilabel sebagai ‘bayaran hutang’ atau ‘pendahuluan’ walaupun mereka tidak mengambil apa-apa hutang dari syarikat tersebut.

 ‘Semuanya sah’

Semasa dihubungi, pengarah PKNZ Syahidah Muhamad berkata Gold Mine merupakan syarikat subkontrak PKNZ dan tidak salah dari segi undang-undang untuk PKNZ menyerahkan pekerja asing kepada Gold Mine.

“Kami mengambil ramai pekerja dan menyerahkan mereka kepada syarikat subkontrak (Gold Mine),” katanya.

Namun beliau tidak menyebut jika Gold Mine membayar PKNZ untuk pekerja-pekerja ini.

“Pekerja yang datang beranggapan mereka boleh dapat gaji tetap. Mereka inginkan gaji asas.

“(Tapi) bila bekerja dalam pembinaan, bila hujan mereka tak bekerja. Tapi pekerja ini ingin dibayar walaupun untuk hari mereka tidak bekerja,” kata Syahidah.

Dia juga mendakwa tidak mengetahui terma kontrak yang ditandatangani oleh pekerja-pekerja Bangladesh, kerana ia adalah antara pekerja dengan syarikat sumber manusia di Bangladesh.

Namun, ini tidak menjelaskan mengapa pekerja pembinaan ditempatkan di sebuah pasar raya.

Disoal di pejabat Gold Mine di Bandar Menjalara di Kuala Lumpur pada bulan Julai, pengurus syarikat tersebut yang tidak ingin dinamakan mengesahkan Gold Mine mengambil pekerja dari PKNZ.

Menurut beliau ini kerana PKNZ tiada projek yang mencukupi untuk pekerja tersebut.

Katanya, peguam Gold Mine akan menjawab soalan Malaysiakini secara rasmi, tetapi tiada jawapan diterima setakat ini.

Sementara itu, Syahidah berkata beliau tidak tahu yang Gold Mine telah meletakkan pekerja-pekerja tersebut di sebuah pasar raya.

Beliau juga tidak sedar bahawa pekerja PKNZ juga dijumpai bekerja di sebuah syarikat kimia di Johor, MiE Industrial Sdn Bhd.

Beliau percaya pekerja yang dijumpai di MiE tersebut merupakan pekerja yang telah lari dari PKNZ.

Beliau juga percaya ramai pekerja Bangladesh mempergunakan syarikat seperti PKNZ sebagai tiket untuk masuk ke Malaysia, dan mereka akan lari setelah tiba.

“Mereka ada orang tunggu di sini, seperti adik beradik mereka. Mereka guna PKNZ untuk masuk ke Malaysia,” katanya.

Bercanggah dengan penafian Syahidah, seorang wakil MiE Industrial berkata PKNZ mungkin berkait dengan salah satu syarikat subkontrak MiE yang beroperasi dalam premis yang sama.

Beliau berkata, semua pekerja yang bekerja, termasuk yang digajikan oleh syarikat subkontrak, di premis MiE diberikan jaket MiE dan pas pekerja MiE atas faktor keselematan.

“Pas pekerja ini digunakan untuk masuk ke tapak kami dan ia akan dikeluarkan atas nama kontraktor utama. Ini satu keperluan dalam sebuah projek.

“Pekerja juga akan memakai jaket dengan logo kontraktor utama, sebagai contoh MiE, dan bukan logo syarikat subkontrak MiE. Ini atas faktor keselamatan di tapak kami,” kata jurucakap MiE tersebut dalam sebuah e-mel ke Malaysiakini.

Jabatan Imigresen: Langgar undang-undang

Menurut sumber dalam Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Buruh sudah beberapa kali mengendalikan kes pekerja asing diperdagang majikan.

“Apabila pekerja ini perlu mengemaskinikan permit, mereka akan dipulangkan ke majikan asal. Ini berlaku dan kami mengendali banyak kes sebegini,” kata sumber tersebut ke Malaysiakini.

Katanya, pekerja hanya boleh diserahkan dari majikan ke majikan jika terdapat perjanjian komersil antara dua syarikat tersebut.

Contohnya, bagi pekerja dobi di hotel yang bukan merupakan pekerja hotel tapi pekerja kepada syarikat dobi yang diberikan kontrak oleh hotel itu untuk mengendalikan perkhidmatan itu.

Dalam ruang inilah yang eksploitasi mungkin berlaku.

Masih tidak jelas sama ada PKNZ mendapat habuan apabila ia menyerahkan pekerja kepada Gold Mine, tapi semua pekerja yang ditemu ramah Kaler Kantho percaya mereka ditipu.

Menurut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (2007) (Atipsom), penipuan ialah satu kesalahan pemerdangan manusia.

Jika bersalah, pelaku boleh dipenjara dari tiga ke 20 tahun dan didenda.

Pelaku yang didapati bersalah mendapat habuan dari pemerdagangan manusia boleh dipenjara selama tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak lebih RM1 juta.

Menurut Ketua pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud, mana-mana majikan yang menyerahkan pekerja mereka ke pihak ketiga adalah menyalahi undang-undang.

Beliau juga menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan perkara ini untuk melaporkannya ke pihak imigresen boleh melakukan serbuan.

Alyaa Alhadjri, Faisal Asyraf dan Aidila Razak dari Malaysiakini dan Haider Ali dari Kaler Kantho telah menyumbang kepada laporan ini.


Esok : RM4,000 sekepala, pekerja Bangladesh mangsa lumayan bagi ejen 

Lihat Komen
ADS