Malaysiakini
BERITA

Isteri sedih arwah Mohd Zahir tak sempat tahu dapat zuriat baru

Diterbitkan

Tanpa disangka, dua hari selepas suaminya kembali ke rahmatullah secara mengejut dan tragis, Nour Shafinar Harun, didatangi satu lagi kejutan.

Kehilangan suami, Mejar Mohd Zahir Armaya, yang terkorban semasa bertugas, Nour Shafinar, 31, mendapat tahu dia berbadan dua.

Malah kehadiran zuriat Mohd Zahir itu sendiri tidak disedari Nour Shafinar sebaliknya dikesan secara spontan oleh orang lain.

"Ada kawan karib saya datang ziarah dan mereka kata nampak perubahan pada fizikal saya sebelum menjangkakan saya mungkin mengandung.

“Kaunselor saya - seorang doktor - yang saya jumpa sebelum itu pun bertanya soalan yang sama," katanya seperti dipetik The Star Online hari ini.

Mohd Zahir adalah anak kepada seniman veteran, AR Badul, yang meninggal dunia akibat terkena tembakan semasa melakukan demonstrasi bersama anggota komando lain di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Sept lalu.

Dia meninggalkan seorang balu dan tiga anak termasuk bayi lelaki berusia enam bulan, dan dua lagi hasil perkahwinan terdahulu.

Nour Shafinar berkata, selepas mendengar pandangan rakan-rakan dan kaunselornya, dia membuat ujian kehamilan untuk mengetahui kebenaran jangkaan itu.

"Memang betul saya mengandung.

"Saya menerima kehamilan ini dengan tabah, tetapi saya tetap sedih sebab dia (Mohd Zahir) tak sempat tahu," katanya.


Baca Tragedi berlaku depan mata


Nour Shafinar ditemui media selepas menerima kunjungan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, di kediaman ibunya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta, Ipoh hari ini.

Tuanku Zara meluangkan masa hampir 30 minit untuk menziarahi keluarga berkenaan sambil bertanya khabar.

Mengenai kunjungan itu Nour Shafinar berkata, Tuanku Zara berpesan supaya dia lebih tabah menghadapi dugaan itu dan mengambil berat kandungannya.

“Saya amat berterima kasih atas kunjungan Tunku Zara," tambahnya lagi.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.