Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak permohonan Haniff Khatri jadi pencelah
Diterbitkan:  Sep 11, 2019 7:06 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla untuk menjadi pencelah dalam permohonan oleh bekas Ketua Hakim Negara untuk membatalkan sebahagian daripada afidavit sokongan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dalam saman pemula yang difailkan oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh.

Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu selepas mendapati tiada merit dalam permohonan yang difailkan Mohamed Haniff sebagai pencelah yang dicadangkan.

Mohd Firuz dalam penghakimannya berkata mahkamah bersetuju dengan penghujahan oleh responden (Ketua Hakim Negara) bahawa Mohamed Haniff telah gagal menunjukkan bagaimana hak dan kepentingan beliau akan terjejas secara langsung oleh keputusan mahkamah ini terhadap permohonan responden untuk memadamkan bahagian tertentu afidavit Hakim Hamid Sultan sebagai menyokong permohonan Sangeet Kaur Deo selaku pemohon.

"Fakta menunjukkan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Mohamed Haniff dalam hantaran Facebook beliau, bukanlah daripada pengetahuan peribadinya sendiri, sebaliknya berdasarkan apa yang diberitahu kepadanya oleh Hakim Hamid Sultan.

"Pencelah yang dicadangkan juga mengesahkan bahawa beliau telah memaklumkan kepada polis perkara yang sama semasa ditemu bual untuk tujuan siasatan. Tiada sebarang perubahan tentang siapa yang memberi maklumat itu tanpa mengira sama ada permohonan pencelah yang dicadangkan itu untuk menjadi pencelah ditolak atau dibenarkan,” kata hakim itu.

Mohd Firuz berkata alasan bahawa Mohamed Haniff adalah pengamal undang-undang di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976 (LPA) dan mempunyai tugas serta hak untuk mengambil bahagian dalam mana-mana prosiding dikendalikan oleh beliau bagi mana-mana anak guamnya dan nama beliau ada pada ‘intitulement’ prosiding ini belum cukup untuk menyokong permohonannya.

"Oleh kerana itu, pada masa ini, Majlis Peguam sudahpun menjadi peguam pemerhati dan ia betul kerana Majlis Peguam adalah badan yang tepat untuk berbuat demikian berdasarkan peruntukan dalam LPA.

"Pencelah yang dicadangkan ini memohon untuk menjadi amicus curaie (rakan mahkamah) meskipun tujuan itu murni, pertimbangan perlu dibuat berikutan beliau adalah peguamcara bagi Hakim Hamid Sultan. Dalam hubungan ini, mahkamah tidak boleh menyentuh sepintas lalu permohonan seperti itu kerana ia boleh membawa kepada konflik antara Mohamed Haniff mewakili kepentingan anak guamnya dan menjadi rakan mahkamah.

"Ini mungkin membawa kepada isu persepsi dan meletakkan pencelah yang dicadangkan dan mahkamah ini dalam kedudukan yang kurang menyenangkan," katanya.

Mohamed Haniff, yang memfailkan permohonan itu pada 26 Julai lepas, memohon untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai pihak dalam permohonan Ketua Hakim Negara untuk membatalkan sebahagian daripada afidavit sokongan yang difailkan oleh Hamid, yang juga Hakim Mahkamah Rayuan, atas alasan bahawa beliau (Mohamed Haniff) mempunyai kepentingan peribadi dalam kes itu dan sebagai peguam dalam satu permohonan untuk membatalkan afidavit itu.

Jika permohonan itu ditolak, Mohamed Haniff memohon supaya dibenarkan untuk berada di mahkamah sebagai amicus curiae (rakan mahkamah) semasa pendengaran permohonan Ketua Hakim Negara itu.

Sangeet memfailkan saman pemula pada 14 Jan lepas berhubung dakwaan campurtangan oleh badan kehakiman dalam keputusan kes hasutan bapanya dan dalam kes pertukaran agama membabitkan tiga kanak-kanak Hindu.

Beliau memohon perisytiharan bahawa Ketua Hakim Negara ketika itu, Tan Sri Richard Malanjum, gagal melaksanakan tugasnya sebagai ketua badan kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila beliau gagal melengkapkan siasatan berkaitan dua dakwaan campurtangan kehakiman yang sangat serius berhubung keputusan rayuan dalam kes hasutan bapanya dan kes guru tadika, M Indira Gandhi membabitkan penukaran agama anaknya kepada Islam.

Malanjum bersara pada 12 April tahun ini.

Sangeet mendakwa isu itu timbul apabila Mohamed Haniff mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan rayuan dalam kes Akta Hasutan mendiang Karpal Singh telah diubah akibat campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan dan perkara itu dilaporkan oleh portal berita dalam talian, Free Malaysia Today pada 22 Ogos 2018.

Pada 29 Mac lepas, Mahkamah Persekutuan membebaskan mendiang Karpal Singh daripada pertuduhan hasutan kerana didakwa mempersoalkan tindakan almarhum Sultan Perak berkaitan krisis negeri Perak selepas memutuskan terdapat salah arah dalam undang-undang yang serius oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan kerana kedua-dua mahkamah gagal menilai pembelaan bekas pengerusi DAP kebangsaan (Karpal Singh) itu.

Mahkamah itu turut membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan denda RM1,800 ke atas Karpal Singh. Balu beliau, Gurmit Kaur, 70, bertindak sebagai perayu gantian dalam rayuan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS