Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pendakwah dari India, Dr Zakir Naik, kini berdepan dengan tentangan pihak tertentu serta kekangan pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan berhubung kontroversi yang melibatkan dirinya.

Namun, keadaan itu bukan penghalang kepada Zakir untuk terus berdakwah dan sekali gus kekal berada di negara ini sebagai pemastautin tetap.

Dengan kelebihan yang dimilikinya, Zakir tampil dengan kekuatan tersendiri berbanding agamawan lain.

Seorang daripadanya ialah Mufti Perak, Harussani Zakaria.

Menurut Harussani, banyak kelebihan dimiliki Zakir yang membezakan dia dengan kebanyakan agamawan di negara ini.

"Dia seorang pendakwah yang boleh berbahasa Inggeris dan Arab.

"Dia juga boleh menghafal banyak kitab termasuk kitab ajaran bukan Islam dan menyampaikan ceramahnya dengan ulasan sejarah. Dia membaca buku-buku agama lain, menghafal dan dia boleh membezakan antara satu dengan lain," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Harussani, kebanyakan pendakwah Melayu hanya boleh menghafal ayat-ayat al-Quran dan hadis, tetapi Zakir lebih daripada itu apabila mampu mengingati apa yang terkandung dalam Bible.

Kaedah kena sesuai

"Orang Melayu ini, kita bercakap mengenai Islam sahaja. Ajaran agama lain kita tak tahu," katanya.

Harussani berkata demikian ketika diminta pandangannya mengenai populariti Zakir di negara ini yang menyaksikan susuknya menjadi perhatian ramai.

Misalnya kehadiran pendakwah yang dikehendaki New Delhi atas tuduhan jenayah - tetapi dinafikan berkali-kali oleh Zakir - ke Masjid Cina Krubong di Melaka pada 7 Sept lalu yang menarik kehadiran 2,000 hingga 3,000 orang bersembahan berjemaah di situ.

Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, pula berkata kelebihan dan keunikan Zakir ada pada 'minda komputer' pendakwah itu yang amat dikagumi beliau.

"Maknanya, dia boleh petik ayat-ayat dalam Bible, malah dalam kitab-kitab lain bersama al-Quran secara spontan.

"Kemudian dia berhujah dengan fakta-fakta yang sukar dinafikan kebenarannya.

Jadi, kebolehan atau penguasaan Zakir terhadap ilmu perbandingan agama itu satu kelebihan yang setakat ini tidak dapat diatasi orang lain," katanya.

Kata Wan Salim, kaedah penyampaian Zakir semasa menjawab persoalan dibangkitkan orang ramai mengenai agama juga menarik minat ramai orang bukan Islam kepada Islam.

"Jadi, saya fikir ini sebabnya dia dimusuhi oleh pihak tertentu kerana mereka bimbang pengaruh dia yang hebat," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata keunikan cara Zakir itu juga membolehkan ramai kalangan bukan Islam memeluk Islam.

Katanya kemahiran itu sukar dilihat ada pada pendakwah lain di negara ini.

"Zakir ada kelebihan tersendiri apabila dia dapat menarik ratusan atau ribuan bukan Muslim memeluk Islam, sedangkan kita jarang mendengar orang bukan Islam memeluk Islam dalam majlis dan ceramah.

"Mungkin orang akan balik dan berfikir bertahun-tahun baru nak memeluk agama Islam. Tetapi dalam program atau ceramah Zakir, kita lihat secara terus," katanya.

Bagaimanapun, Wan Salim mengingatkan Zakir Naik bahawa beliau perlu memilih metodologi yang sesuai dalam berdakwah.

"Satu perkara yang perlu saya ingatkan, apabila kita mengakui kelebihan Zakir ini, tidak bermakna metodologi yang dia gunakan dengan untuk semua tempat dan negara, sebab setiap negara ada situasi yang tersendiri.

"Dalam konteks Malaysia - pada pandangan saya - kita hidup dalam masyarakat yang majmuk sejak sekian lama. Metadalogi yang digunakan dengan membandingkan agama lain itu mendatangkan masalah serta tidak disenangi pihak tertentu," katanya.

Tak sentuh perkauman

Oleh itu, Wan Salim berkata adalah lebih baik untuk Zakir Naik mempelajari budaya rakyat Malaysia yang hidup dalam harmoni sejak sekian lamanya.

Antara aspek yang perlu diperhatian dengan cemat oleh Zakir, kata beliau, ialah tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum di negara ini, tidak membanding-bandingkan ajaran agama sebaliknya tonjolkan kelebihan Islam saja.

Menurut Wan Salim, tanpa membandingkan sesuatu agama dengan Islam pun, manusia boleh tertarik dengan dakwah dibawa Zakir.

"Kerana fitrah, manusia itu sendiri akan mencari agama yang benar," katanya.

Bagi pendakwah dan Pengarah Akademik Saudara Research Centre, Wan Ji Wan Hussin, beliau sependapat dengan Harussani dalam kelebihan yang dimiliki Zakir.

Kata Wan Ji dengan ilmu yang dikuasainya Zakir boleh berhujah dengan baik dan berjaya mendiamkan sesiapa yang berdebat beliau.

Dengan itu, katanya, ramai orang Islam menganggap Zakir "menang" dalam perdebatan tersebut.

"Ramai yang memeluk Islam selepas mendengar syarahan beliau. Ini boleh dilihat dalam YouTube," katanya.

Seorang Ulama PAS pula berpendapat Zakir berjaya menunjukkan bahawa Islam agama yang benar.

Bekas Timbalan Ketua Ulama PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abdul Rani, berkata antara sebab kenapa Zakir amat popular adalah kerana beliau berdakwah sambil mempromosi Islam.

"Banyak kali (dengar ceramah Zakir) dan dia tak pernah sentuh isu perkauman.

"Dia hanya cerita kebaikan Islam dan apabila dia cerita kebaikan agama Islam, orang lain akan terasa," jelasnya.

Lihat Komen
ADS