BERITA Malaysiakini

Anwar anggap BJ Habbie seperti ahli keluarga sendiri

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Presiden PKR Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih atas pemergian bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie yang menghembuskan nafas terakhirnya hari ini pada usia 83 tahun.

"Menerima perkhabaran duka dari Indonesia, sahabat karib saya yang juga mantan Presiden Indonesia ke-3 Bacharuddin Jusuf Habibie meninggal dunia hari ini," kata Anwar menerusi catatan di Facebooknya malam ini.

Allahyarham BJ Habibie meninggal dunia di Rumah Sakit Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto, Jakarta berikutan pelbagai masalah kesihatan dialaminya.

"BJ Habibie seorang individu yang saya anggap sebagai keluarga dan sangat prihatin tentang derita yang saya lalui semasa saya selesai operasi (pembedahan), bebas dari penjara di mana Allahyarham dan Allahyarhamah Ibu Ainon yang menjaga saya.

Anwar menjalani pembedahan tulang belakang di Munich, Jerman pada September 2004 selepas dibebaskan dari penjara. 

Beliau menetap di kediaman Habibie sehingga beransur pulih.

"Saya kesan sosoknya sederhana, bicaranya pintar dan panjang namun tidak sebagai seorang politisi biasa.

"BJ Habibie ini bicara dari keyakinan serta dari hati nurani. Perkara ini saya lihat sebagai sesuatu yang unik dari seorang tokoh dan pemimpin besar yang pastinya akan dirindui serta dikenang semua pihak," katanya.

Sehubungan itu beliau mewakili PKR mengutuskan salam takziah buat keluarga Allahyarham.

"Semoga rohnya ditempatkan bersama dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," kata Anwar.