Malaysiakini
BERITA

Menteri kecewa keputusan Hak Tanah Adat masyarakat Iban

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Sep 2019, 3:25 petang

Menteri Kerja Raya, Baru Bian kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan masyarakat Iban dari dua buah kampung di Sarawak untuk menyemak semula keputusan bahawa Hak Tanah Adat mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang di negeri itu.

Dalam keputusan majoriti 4-1 oleh panel lima hakim hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan tidak ada asas untuk panel baru menyemak semula keputusan awal mahkamah.

Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Alizatul Khair Osman Khairuddin, Idrus Harun dan Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan majoriti manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah menentang.

"Saya amat menghormati budi bicara yang diberikan kepada mahkamah untuk membuat sebarang keputusan di bawah undang-undang," kata Baru.

Bagaimanapun beliau berkata: "Ini bermakna isu-isu yang kami harapkan untuk dijelaskan dan ditentukan, sama ada Pemakai Menoa dan Pulau Galau mempunyai kuasa undang-undang, masih tidak dapat dijawab," katanya.

Hak Tanah Adat Orang Asal adalah melalui warisan berdasarkan adat Iban, Pemakai Menoa dan Pulau Galau.

Pulau Galau adalah istilah yang diberikan kepada tanah yang dikhaskan oleh sesebuah kampung sebagai tempat mencari makanan seperti ikan, berburu dan lain-lain.

Tanah ini secara umumnya tidak disentuh supaya hutan dapat tumbuh semula.

Pemakai Menoa pula adalah keseluruhan kawasan kampung yang dianggap sebagai harta miliknya, termasuk kawasan rumah panjang serta kawasan Pulau Galau.

Baru merujuk dalam kes 2001 di mana Nor anak Nyawai dan tiga yang lain menang dalam kes melawan Tatau Land Sdn Bhd, Jabatan Tanah dan Ukur Bintulu dan kerajaan negeri Sarawak.

"Ini bermakna kami sebagai anak Sarawak mesti terus menegaskan dan menuntut hak kami atas tanah hak adat Orang Asal sehingga satu lagi keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan kes Nor Anak Nyawai," katanya.

[Baca berita penuh]

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.