Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gabung sawah perlu jaminan hak milik tanah petani

Beberapa pihak menyuarakan pendapat berbeza berhubung cadangan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad agar pesawah kecil menggabungkan tanah milik mereka bagi dijadikan estet perladangan.

Pegawai Penyelidik Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), NurFitri Amir Muhammad menyifatkan cadangan tersebut bernas namun hak dan pemilikan tanah pesawah perlu dijamin.

“Kita (pesawah) takut juga akan berlaku eksploitasi macam dari sudut suara petani, hak pemilikan tanah pesawah tidak didengari kerana dimonopoli oleh syarikat besar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau juga mempersoalkan dari sudut perjanjian kerana ia dibimbangi memberi kelebihan kepada syarikat besar yang hanya mahukan hasil lumayan.

NurFitri yang juga setiausaha NGO Padi Rescue mencadangkan agar estet perladangan diambil alih secara koperasi dan diuruskan orang tempatan sendiri.

“Jadi ia akan bersikap lokal berbanding syarikat besar seperti Bernas, Sime Darby.

"Berbanding diberikan kepada syarikat besar, lebih baik petani pertimbangkan dan urus sendiri kalau kerajaan sudah mahu bantu atau berikan saja kepada PPK (Pertubuhan Perladangan Kawasan) supaya hak suara itu lebih adil,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir melontarkan idea supaya ladang padi diurus secara profesional bagi menjana lebih banyak pendapatan.

Menurut beliau, jika usaha itu tidak dilakukan, pesawah kecil akan terus menjadi antara rakyat termiskin di negara ini yang bergantung kepada subsidi dalam penanaman padi.

Kerajaan Kelantan juga melihat cadangan itu sebagai idea menarik.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, bagaimanapun berkata cadangan itu perlu disertakan dengan kajian terperinci oleh pihak berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Petani kini terpinga-pinga

Sementara itu, Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata pihak petani kini berada dalam keadaan terpinga-pinga kerana tidak diberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

“Kerajaan hendak ambil tanah buat estet tetapi petani sendiri tidak tahu apa bakal jadi seterusnya.

“Perkara begini perlukan diskusi secara holistik dan kalau kerajaan betul nak bantu, panggil kami (pesawah) bincang bersama-sama,” katanya yang mempunyai pengalaman 14 tahun dalam sektor perladangan.

Abdul Rashid juga menggesa kerajaan agar tidak menghentikan subsidi yang diberikan kepada pesawah seandainya cadangan ini tetap dilaksanakan.

“Kalau kerajaan nak hapus subsidi pula, sanggup ke nak lepaskan kawalan harga beras? Ia akan jadi isu lain pula nanti,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Dr Mahathir turut meminta golongan pesawah meninggalkan sikap terlalu bergantung kepada subsidi dari kerajaan dan menggantikannya dengan sifat ingin memperbaiki keadaan hidup mereka.

Pesawah takkan hilang hak milik tanah

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LLP) Mazlan Aliman pula menafikan pembabitan pakar dan syarikat besar bakal menyebabkan pesawah hilang pemilikan tanah mereka.

“Kita (pesawah) memang tidak boleh nafi pembabitan pakar-pakar yang boleh meningkatkan hasil tetapi kita (pesawah) tidak boleh sendirian, kena gabung dengan syarikat yang mempunyai pakar-pakar sedemikian.

“Jadi cadangan untuk jadikan secara koperasi tu bagi saya tidak berasas kerana kita masih perlukan bantuan mereka (pakar) terutama dalam penggunaan bidang teknologi dalam industri perladangan,” katanya.

Selain itu, Mazlan juga berkata estet perladangan sudah dilaksanakan di seluruh negara dan ada kawasan jelapang padi yang sudah mencecah usia 10 tahun.

“Isu kini adalah kita nak lihat balik apa yang disebut Dr Mahathir dan nilai prestasi estet padi itu agar sejajar dengan apa yang menjadi aspirasi kerajaan iaitu tingkatkan penggunaan teknologi moden dan peningkatan hasil,” katanya.

Lihat Komen
ADS