Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan Suhakam bakal dibahas pertama kali di parlimen

Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan dibahaskan oleh ahli parlimen untuk kali pertama dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

Suhakam, yang ditubuhkan pada tahun 1999, telah mengemukakan laporan tahunan itu setiap tahun kepada parlimen tetapi dokumen itu tidak pernah dipedulikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong memberitahu pemberita di Kuala Lumpur hari ini bahawa dia sendiri akan membentangkan laporan itu pada sesi parlimen 7 Oktober nanti.

"Jika laporan itu hanya dibentangkan kepada pihak berkepentingan dan kepada ahli parlimen tanpa dibahaskan, saya fikir ia tidak akan mencapai tujuannya.

"Kerajaan terdahulu, sejak 19 tahun yang lalu langsung tidak membahaskannya tetapi saya rasa kerajaan baru di bawah Pakatan Harapan akan mengambil langkah pertama untuk memastikan laporan tahunan Suhakam akan dibahaskan," katanya semasa berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-20 suruhanjaya itu di Kuala Lumpur pagi ini.

Laporan tahunan Suhakam 2018 dibentangkan di parlimen pada April tahun ini tetapi tidak ada masa yang diperuntukkan untuk perbahasan.

Liew kemudiannya menjelaskan bahawa "laporan khas" berasingan dari Suhakam akan dibentangkan dan dibahaskan dalam sidang akan datang.

"Suhakam juga buat masa ini sedang menyediakan laporan khas... sebaik saja saya selesai, saya akan menggerakkan usul untuk membahaskan pada sesi kali ini yang akan bermula pada 7 Okt," katanya ketika ditanya semasa sidang akhbar.

Turut hadir pada sidang media itu pengerusi Suhakam Othman Hashim, yang mengesahkan bahawa laporan khas berkenaan sedang disiapkan.

Liew juga memberitahu pemberita bahawa kerajaan sedang berusaha meminda Akta Suhakam 1999 untuk membolehkan pesuruhjaya Suhakam dilantik oleh parlimen dan bukan oleh eksekutif, seperti amalan ketika ini.

"(Meletakkan Suhakam di bawah Parlimen) akan dimasukkan dalam pindaan, pada masa ini ia masih dalam perancangan.

"Mungkin tahun depan kita harus usulkan (di Dewan Rakyat)," katanya.

Kata Liew, satu lagi pindaan adalah bagi memberi suruhanjaya itu lebih banyak kuasa untuk menyiasat dan menangani aduan hak asasi manusia.

"Itu adalah untuk memperbesar kuasa eksekutif Suhakam untuk memastikan mereka dapat menangani pelbagai isu mengenai aduan, untuk memberi mereka lebih kuasa," katanya.

Lihat Komen
ADS