Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penjelasan Zuraida isu jual hartanah mewah ke warga asing
Diterbitkan:  Sep 12, 2019 10:47 PM
Dikemaskini: 2:48 PM

Mendapat reaksi yang pelbagai, hari ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, tampil membuat penjelasan berhubung kenyataan dibuatnya semalam.

Kata Zuraida ketika ini kerajaan sedang meneliti beberapa cadangan bagi menangani isu lambakan rumah mewah - yang berharga RM1 juta dan ke atas - yang belum dapat dijual.

Menurutnya, berdasarkan rekod Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), jumlah keseluruhan hartanah kategori mewah yang tidak terjual dianggarkan bernilai RM100 bilion.

"Bagi menyelesaikan masalah ini kerajaan mencadangkan kempen ekspo perumahan di luar negara melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), dan bukanlah kempen pemilikan rumah (HOC) yang saya nyatakan semalam sehingga menimbulkan kekeliruan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Zuraida mencadangkan agar HOC digerakkan bagi menarik pembeli dari luar negara - seperti China dan Hong Kong - untuk menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual di negara ini.

Beliau yang juga naib presiden PKR menjelaskan kempen itu bagaimanapun terhad untuk rumah-rumah mewah.

“Adalah lebih murah (bagi warga Hong Kong) membeli rumah di Malaysia berbanding di Hong Kong.

“Saya pernah pergi ke satu unit apartment (di Hong Kong), 250 kaki persegi berharga RM3 juta. Saya kata, menteri pun tak mampu (nak beli),” katanya.

Selesaikan beban ditinggal BN

Namun, katanya perkara itu masih belum diputuskan dan akan dirujuk ke kabinet serta dibincangkan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.

Kata Zuraida program MM2H terbuka kepada semua warganegara asing, manakala China dan Hong Kong dipetik sebagai contoh rakyat yang boleh disasarkan memandangkan harga purata hartanah di negara tersebut adalah tinggi.

Menurut beliau MM2H diperkenalkan pada 2002 dan pelaksanaannya dibuat dengan syarat-syarat ketat selain dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan.


Baca Kelonggaran beli rumah bantu peminjam PTPTN beres hutang


"Cadangan yang disebutkan semalam adalah untuk diperhalusi sebagai salah satu cara mengatasi lambakan rumah mewah yang telah pun siap dibina selama ini namun masih tidak terjual.

"Ia dibuat dengan mengambil kira faktor lain seperti mengelakkan lambakan projek gajah putih yang tidak baik kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Selain itu, jika tidak diselesaikan masalah sosial yang mungkin berlaku sekiranya rumah-rumah itu dibiarkan tidak berpenghuni," katanya.

Menurut beliau cadangan berkenaan juga dijangka dapat merancakkan aktiviti ekonomi dalam negara, menarik aliran wang asing dan pelancong.

Melalui Program MM2H, kata anggota parlimen Ampang itu, ia dapat menambah nilai modal insan melalui perkongsian kemahiran, pengalaman ekspatriat yang masuk secara sah dalam negara.

"Ini juga adalah usaha kementerian menyelesaikan beban ditinggalkan pentadbiran BN.

"Hal ini berlaku kerana pentadbiran terdahulu tidak melakukan kajian menyeluruh mengenai permintaan dan pengeluaran berkaitan perumahan.

"Perkara ini sudah tentu tidak mengalihkan fokus saya untuk memberi tumpuan kepada program perumahan mampu milik buat rakyat dalam kategori B40 dan M40," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS