Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak setuju dengan Syiah bukan alasan tangkap pengikutnya - LFL
Diterbitkan:  Sep 13, 2019 12:47 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Lawyers for Liberty (LFL) menggesa pihak berkuasa agama untuk menghentikan serbuan dan tangkapan ke atas pengikut mazhab Syiah, memandangkan Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan terhadap kebebasan beragama.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pengikut Syiah sama ada rakyat tempatan mahupun warga asing telah ditangkap sekitar di Selangor dan Johor. Aliran Syiah di negara ini dianggap menyimpang terutama mengenai rujukan serta beberapa tokoh awal sejarah Islam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah LFL, Melissa Sasidaran berkata, serbuan itu ibarat seperti "gangguan".

“Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan setiap orang bebas menganut dan mengamalkan agamanya.

“Namun, pihak berkuasa agama kita biasanya tidak mengikut Perkara 11 (4), yang menghadkan penyebaran doktrin agama dalam kalangan umat Islam, untuk membenarkan tindakan mereka.

“Apapun tafsiran yang membolehkan pihak berkuasa agama bertindak di luar kawalan atau sewenang-wenangnya terhadap pengikut Syiah adalah salah dan ini bermaksud tindakan ini tidak seimbang terhadap kebebasan beragama,” katanya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum ini juga menyuarakan kebimbangan mereka dan membuat kritikan yang sama tentang serbuan tersebut.

Melissa berkata mereka yang ditangkap itu mengamalkan kepercayaan masing-masing dalam ruang persendirian dan tidak menyebarkan fahaman itu kepada orang Islam yang lain.

“Tidak bersetuju dengan ajaran dan amalan Syiah semata-mata bukanlah alasan yang mencukupi untuk tindakan yang keras ini diambil.

“[...] Mereka yang ditangkap tidak melakukan sebarang jenayah dan tidak mendatangkan sebarang bahaya kepada sesiapa.

"[...] Kami menggesa kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri untuk menghentikan serbuan dan serangan terhadap kebebasan beragama pengikut Syiah," katanya.

Beliau berkata, menerusi piawaian antarabangsa, batasan tentang kebebasan beragama hanya boleh dijustifikasi jika mereka perlu untuk melindungi keselamatan awam, ketertiban, kesihatan, moral atau asas hak dan kebebasan orang lain.

Minggu lalu, lebih 20 pengikut fahaman Syiah ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan di sebuah rumah kedai Taman Sri Gombak, dekat Kuala Lumpur. Mereka turut menahan 23 pengikut ajaran itu.

Di Johor, tidak kurang 20 pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Johor (Jainj) yang diiringi polis menyerbu sebuah majlis di Kempas dan menahan lapan individu, termasuk seorang warga Yemen dan dua warga Singapura.

[Baca berita penuh]

Dalam pada itu, Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhammad Fathi Yusof mempertahankan tindakan pihak berkuasa agama itu.

Menurutnya, tangkapan beberapa individu yang dipercayai menyebarkan fahaman Syiah kepada umat Islam adalah sah dan selari dengan perlembagaan kerana dilaksanakan mengikut saluran undang-undang yang betul.

"Perlu diingat bahawa tindakan diambil atas sebab mereka menyebarkan fahaman berkenaan bukan kerana anutan mereka semata-mata.

"Tindakan menyebar bertentangan dengan undang-undang dan boleh menimbulkan risiko ketenteraman awam.

"Kita tidak mahu berlaku konfik mazhab sebagaimana yang berlaku dalam beberapa negara dan biarlah Malaysia tenang dengan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah," katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia.

Lihat Komen
ADS