Malaysiakini
BERITA

Timbalan presiden PAS baca khutbah Jumaat di PWTC

Haspaizi Zain

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Sep 2019, 8:04 pagi

Himpunan Penyatuan Ummah hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya khutbah solat Jumaat di surau Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dibacakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim dalam khutbahnya, menyifatkan himpunan yang berlangsung hari ini adalah atas kehendak Allah SWT.

Dengan memetik sirah Nabi Muhammad SAW yang menyatukan puak Aus dan Khazraj di Madinah, Tuan Ibrahim, berkata penyatuan umat Islam amat digeruni oleh Yahudi.

"Yakinlah tanpa keikhlasan kepada Allah SWT, kita tak boleh bersatu, bekerjasama. Allah SWT yang satukan hati kita.

"Golongan Yahudi bimbang penyatuan ummah umat Islam di Madinah membabitkan puak Aus dan Khazraj. Sehingga orang Yahudi menghasut untuk memecah belahkan umat Islam.

"Jangan ada dalam kalangan kita yang bawa bisikan syaitan dalam usaha kita menyatukan ummah," katanya ketika berkhutbah.

Solat Jumaat itu dipimpin oleh imam jemputan yang dibawa khas.

Turut hadir menunaikan solat Jumaat di PWTC itu ialah Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Manakala pimpinan PAS yang hadir selain Tuan Ibrahim, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Ketua Penerangan, Kamaruzaman Muhamad.

Selepas solat Jumaat, jemaah yang hadir turut menunaikan solat sunat hajat yang dipimpin bekas menteri di jabatan perdana menteri, Jamil Khir Baharom.

Himpunan Penyatuan Ummah adalah manifestasi kerjasama antara dua parti itu yang terjalin selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Esok pemimpin utama PAS dan Umno akan memeterai piagam kerjasama yang sekali gus membentuk "taawun siyasi" antara dua parti itu secara rasmi.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.