Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: 4 syarikat M'sia sedia jawab tuduhan isu kebakaran di Indonesia
Diterbitkan:  Sep 13, 2019 8:35 PM
Dikemaskini: Sep 17, 2019 3:15 AM

Menteri Industri Utama Teresa Kok menyatakan kebimbangan terhadap tindakan Indonesia menyalahkan ladang anak syarikat kepada syarikat Malaysia berhubung kebakaran hutan di beberapa bahagian republik itu.

"Daripada rekod kami, empat syarikat Malaysia yang dinamakan adalah antara syarikat penanaman kelapa sawit yang paling dihormati.

"Mereka mengamalkan amalan penanaman lestari yang disahkan melalui MSPO, RSPO, ISCC atau gabungan sistem pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kok berkata tuduhan itu sangat serius dan menyebabkan imej syarikat-syarikat berkenaan terjejas di Indonesia dan Malaysia.

Jelas Kok, walaupun dia tidak dapat memberi ulasan mengenai kesahihan dakwaan itu sehingga mendapat akses kepada kertas siasatan Indonesia, ahli parlimen Seputeh itu berkata dia telah menghubungi empat syarikat berkenaan yang memaklumkannya bahawa mereka komited untuk menjawab dakwaan tersebut.

"Tindakan sedemikian juga sangat tidak masuk akal kerana saya tetap bimbang bahawa tuduhan-tuduhan itu akan digunakan oleh aktivis anti-kelapa sawit yang boleh menyebabkan menjejaskan Indonesia dan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit utama.

"Saya juga akan berbincang dengan rakan sejawat saya dari Indonesia dan berharap dapat menyelesaikan masalah ini dengan cepat dan mesra," kata Kok, yang saat kini dalam kunjungan rasmi di Vietnam.

 

Kerajaan Indonesia sebelum ini menuding jari kepada empat syarikat Malaysia berhubung kebakaran hutan di negara mereka iaitu IOI Corporation, Sime Darby Plantation Berhad, TDM Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd.

Jerebu yang disebabkan kebakaran hutan di pulau Sumatera dan Kalimantan di Indonesia kini meliputi Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Singapura.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS